Sabtu, 2 Januari 2016

TPPA: Perspektif Kedaulatan dan Geopolitik

FREE MALAYSIA TODAY


TPPA menyediakan ruang buat Malaysia untuk mengukuhkan hubungan keselamatan dengan Amerika Syarikat, sedang dalam masa yang sama tidak menghalang daripada mengeratkan hubungan dengan kuasa besar lain.
 
 
 
TPPA copy

Oleh: Abdul Muein Abadi


Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bakal dibahaskan di Parlimen Malaysia pada 26-27 Januari ini. Pihak Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) juga sudah pun mengeluarkan laporan analisis kos-faedah (cost-benefit analysis) pada 3 Disember lalu. Tulisan ini akan menghuraikan secara spesifik perspektif kedaulatan dan geopolitik yang terkandung dalam laporan ISIS tersebut.

Di bawah tema “Kedaulatan”, ISIS telah menggariskan tiga sub-tema: Dominasi kuasa besar, campur tangan asing, dan juga halangan pembuatan polisi bagi Malaysia. Di bawah tema “Geopolitik” pula, ISIS turut mengemukakan tiga sub-tema: ASEAN, China, dan Kesatuan Eropah (EU).

Bagi dimensi sub-tema pertama di bawah “Kedaulatan” – iaitu “Dominasi kuasa besar” – ISIS mendapati bahawa sememangnya terdapat impak yang positif buat Malaysia. Malaysia sebagai sebuah negara yang relatif kecil dan terlibat dengan beberapa pertikaian wilayah dengan negara-negara jiran sememangnya perlu untuk menjalinkan hubungan baik dengan semua pihak.

Dari perspektif TPPA, ia menyediakan ruang buat Malaysia untuk mengukuhkan hubungan keselamatan dengan Amerika Syarikat (AS), sedang dalam masa yang sama tidak menghalang daripada mengeratkan hubungan dengan kuasa besar lain. Di bawah sub-tema kedua iaitu “campur tangan asing” pula, ISIS secara khusus memberi fokus kepada impak keperluan pensijilan AS (US certification requirement).

Dalam aspek ini, Malaysia telah berhasil untuk memperoleh pengecualian (non-conforming Measures NCM) di bawah TPPA, yang mana antara yang paling utama ialah pengecualian cukai eksport (export tax) dan juga kawalan tembakau daripada prosedur Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (Investor-State Dispute Settlement ISDS).

Dari perspektif sub-tema ketiga di bawah tema “Kedaulatan” pula, iaitu “Halangan pembuatan polisi bagi Malaysia”, ISIS mengakui sememangnya terdapat kebimbangan bahawa rejim perundangan TPPA mungkin akan dipengaruhi pengaruhi AS dan juga syarikat-syarikat gergasi AS.

 Tujuh ruang polisi Malaysia yang menjadi perhatian ialah Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (Investor-State Dispute Settlement ISDS), dasar Bumiputera, pembasmian kemiskinan, pemerolehan kerajaan (Government Procurement GP), perusahaan milik negara (state-owned enterprise SOE), buruh, dan alam sekitar.

Namun demikian, menerusi pengecualian (non-conforming Measures NCM) serta sedikit pengubahsuaian yang khusus diperoleh Malaysia di bawah TPPA, kadar penentuan polisi Malaysia masih kekal utuh. Antara yang paling ketara ialah dalam aspek pelaburan di mana sebahagian besar pemerolehan kerajaan bagi Bumiputera dan juga syarikat berkaitan kerajaan (Government-linked corporations GLC) masih dikecualikan daripada sekatan sepenuhnya TPPA. Hanya bagi pemerolehan serta projek gergasi sahaja ruang persaingan dibuka sepenuhnya kepada syarikat-syarikat asing.

Di bawah tema “Geopolitik”, ISIS memberi prioriti kepada sub-sub tema yang berkaitan hubungan Malaysia dengan rakan dagang utama. Dari perspektif sub-tema Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), diakui bahawa terdapat kemungkinan jurang antara negara ASEAN yang menyertai TPPA – Malaysia, Brunei, Vietnam, dan Singapura – dengan anggota ASEAN yang tidak menyertai TPPA bakal bertambah.

Hal ini demikian kerana hanya anggota TPPA sahaja yang akan menikmati akses pasaran yang mudah ke negara-negara anggota TPPA yang maju seperti AS, Jepun, Australia, Kanada, dan New Zealand.Namun demikian, hakikat bahawa kesemua negara anggota ASEAN turut terlibat dengan beberapa lagi aturan bersama – antaranya seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang melibatkan akses ke China dan India – di samping kemajuan dalam projek Komuniti Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Community AEC) pada hemat penulis, tidak akan memudarkan kesepaduan 10 negara anggota ASEAN.

China merupakan fokus analisis ISIS yang kedua di bawah tema “Geopolitik”. TPPA sememangnya dilihat sebagai salah satu strategi AS bagi mengekang (containment) kemaraan China di rantau Asia dengan slogan “Pivot to Asia”.

Namun perlu disedari bahawa penyertaan Malaysia ke dalam TPPA tidak sama sekali menghalang Malaysia daripada turut mengukuhkan hubungan bilateral dengan Beijing. Hal ini terbukti menerusi komitmen Malaysia yang menyokong penuh inisiatif “One Belt One Road” (OBOR) oleh China.

Bukan sahaja menyertai rundingan RCEP, Malaysia bahkan merupakan antara negara terawal yang menandatangani penubuhan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) tajaan Beijing disamping meletakkan sasaran untuk mencapai nilai dagangan dua hala sebesar US$160 bilion menjelang tahun 2017 dengan China.Sub-tema terakhir di bawah “Geopolitik” ialah Kesatuan Eropah (EU) di mana Malaysia merupakan rakan dagang EU kedua terbesar selepas Singapura di Asia Tenggara. EU pula merupakan rakan dagang keempat terbesar bagi Malaysia.

Pada 2012 Malaysia menunda rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan EU kerana memberi fokus kepada TPPA. Namun penyertaan Malaysia ke dalam TPPA dijangka ISIS tidak memberi impak besar dalam hubungan dua hala tersebut.

(*) Abdul Muein Abadi merupakan pensyarah Program Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tiada ulasan: