Isnin, 4 Januari 2016

Tengku Puan Pahang dukacita Kuantan tercemar akibat bauksit

MALAYSIAKINI


 


Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa dukacita terhadap pencemaran akibat aktiviti bauksit di daerah Kuantan.

Beliau turut meminta rakyat agar terus berjuang untuk menghentikan kegiatan tersebut yang menjadi semakin serius sejak akhir-akhir ini.

Menerusi laman sosial instagramnya @tengku_puan_pahang, Tunku Azizah memuat naik beberapa status berhubung perkara tersebut.

Beliau mengepilkan beberapa keratan akhbar yang melaporkan tentang pencemaran disebabkan aktiviti bauksit.

Isu pencemaran itu muncul kembali menjadi tajuk utama kebanyakan akhbar baru-baru ini setelah air Sungai Balok dan air laut di Pantai Batu Hitam yang menjadi tumpuan pelancong tercemar dan bertukar menjadi merah.

Tunku Azizah turut mendedahkan pantai di hadapan rumahnya sendiri di Balok turut bertukar menjadi merah.

Beliau menerusi statusnya dalam bahasa Inggeris turut meminta pihak berkenaan bertindak menghentikan perkara tersebut daripada terus berlaku.

Bagaimanapun Tunku Azizah berkata adalah tidak wajar perkara itu dipersalahkan sepenuhnya atas kerajaan.

"Jangan salahkan kerajaan sahaja... salahkan juga pengusaha haram... salahkan juga tuan punya tanah... kita semua salah di sini," katanya.- Bernama


1 ulasan:

Unknown berkata...

Galian dalam negeri dibidang kuasa kerajaan negeri bukannya persekutuan. Raja dan Sultan punya nak buat macam mana ?