Ahad, 3 Januari 2016

Tahun 2015 yang sedih lagi pelik



Oleh HISHAMUDDIN RAIS


Apabila tuan hamba membaca tulisan hamba ini yakinlah tahun telah berganti. Tahun 2015 telah melintas hilang dan tahun 2016 telah sampai. Ini maknanya umur hamba dan umur tuan hamba bertambah setahun lagi.

Sebenarnya hamba ada niat hendak mengucapkan selamat tahun baru kepada tuan hamba para pembaca, macam hamba mengucapkan Selamat Menyambut Krismas minggu lalu. Hamba berharap dengan ucapan ini akan muncul beberapa ekor tok mudim dan tok siak dengan pisau tajamnya.

Hamba ingin mendengar ayat terselit dan ayat tersepit yang akan disurahkan oleh para tok mudim dan tok siak untuk melarang bani Melayu dari mengucapkan Selamat Tahun Baru.

Kalau ucapan sambutan Maulud Nabi Isa lagi dilarang. Inikan pula menyambut tahun baru yang berasal usul dari kalender Pope Gregory ke-13. Mesti banyak ayat terselit dan ayat tersepit yang akan disurahkan.

Mana tahu entah-entah Pope Gregory ini pernah menghisap darah dan makan hati bani Melayu.

Hamba sebenarnya memang suka mengganggu tidur tok mudim dan tok siak. Tahun 2015 yang telah berlalu ini untuk hamba ialah tahun kesedihan. Di sini hamba ingin berkisah tentang apa yang sedih lagi menyayat hati.

Bani Melayu merasa amat sedih kerana telah dihina dan diinjak-injak. Pemimpin agung bani Melayu telah dituduh dengan pelbagai tuduhan. Paling hina ialah apabila pemimpin agung bani Melayu dituduh menerima duit rasuah dari Tok Arab.

Berita ini bermula dari laporan sebuah akhbar Yahudi terbitan New York yang bernama Harian Tembok Jalan. Mustahil sebuah akhbar dengan nama Tembok Jalan boleh dipercayai. Kalau namanya Dire Straits Times mungkin masuk akal untuk dipercayai.

Hamba rasa penghinaan terhadap pemimpin agong bani Melayu ini adalah rancangan Yahudi. Mereka cemburu kerana negara bani Melayu ada menara berkembar bernama KLCC. Kita boleh berbangga kerana kita ada LRT, MRT dan kita juga ada GST. Negara lain mana ada macam kita.

Banyak negara asing cemburu dengan kejayaan bani Melayu ini. Kita juga ada kereta Proton. Kereta Proton ini amat-amat istimewa dalam dunia ini. Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa hanya saintis dan pakar bani Melayu sahaja yang memiliki teknologi membuat kereta yang tingkapnya tidak boleh dibuka.

Ini satu penemuan teknoloji tercanggih dalam dunia. Negara Bani Melayu satu-satunya negara yang berjaya membuat cermin tingkap kereta yang tidak boleh dibuka.

Dari segi teknologi perang ini satu pencapaian kerana jika tingkap kereta tidak dapat dibuka maka musuh tidak dapat masuk ke dalam kereta untuk menyerang kita. Pada hemat hamba ramai orang asing cemburu dalam hal kejayaaan teknologi kita.

Malah dari risikan Haji Desas bin Lebai Desus hamba difahamkan tiga orang pakar nuklear Rusia telah datang ke Kuala Lumpur. Mengikut Haji Desas para saintis ini telah diarahkan oleh Presiden Vladimir Putin datang merisik untuk mempelajari teknologi tingkap tidak boleh dibuka.

Dikatakan, Putin amat tertarik dengan teknoloji ini dan ingin menggunakannya untuk roket Sayuz 7K-Lok yang akan dihantar ke bulan.

Hamba akan terus mengingati tahun 2015 yang cukup menyedihkan kerana maruah bani Melayu selalu dicabar. Sepanjang tahun 2015 maruah Bani Melayu dicabar berpuluh kali. Maruah bani Melayu dicabar dalam kedai telefon bimbit. Maruah bani Melayu dicabar di Jalan Petaling. Maruah Bani Melayu dicabar apabila 500,000 warga negara Malaysia turun ke jalan raya anjuran BERSIH.

Maruah bani Melayu terbarai merata-rata. Hamba sendiri berasa sedih melihat maruah bani Melayu dirobek-robek. Tidak ada yang sangup menangis melihat maruah bani Melayu dicabar. Maruah bani Melayu bersepah-sepah dicabar hinggakan Mamak Tongkang Penang malu untuk mengaku Melayu.

Maruah bani Melayu ini dicabar kerana bani Melayu tidak bersatu. Semua ini berpunca dari perpecahan politik Bani Melayu. Jika Bani Melayu ini dapat bersatu bukan sahaja Tok Arab sanggup menghulur derma malah Tok Bengali Janggut anak mendiang Karpal Singh juga akan mengaku menjadi Bani Melayu sama macam Tee Chuan Seng yang kini dengan bangganya memakai nama Mamat Rituan Baku Tee. Alhamdulilah.

Hamba juga ada mendengar memang ramai orang bersedih pada tahun 2015 terutama orang Pahang. Ramai anak muda Pahang menyimpan hati hendak memetik bunga sekuntum di taman Rosmah. Tup Tup entah macam mana bunga sekuntum ini telah disambar helang Kazakhstan. Kempunan jantan-jantan Pahang.

Di belakang bunga sekuntum ini ada kesah benar yang takjub lagi menakjubkan. Pelik lagi memelikkan.

Kesah ganjil lagi mengganjilkan. Sedih lagi menyedihkan. Lebih hebat dari Ripley’s Believe It or Not. Ini bukan keisah rekaan hamba. Ini kisah tahun 2015 yang tidak akan kita lupa-lupakan walaupun Hadi Awang telah dinobatkan sebagai Penasihat Ekonomi Negara.

Kesah sedih menjadi takjub ini bermula dengan lapan bilion umat manusia yang sedang bernafas dalam dunia kita hari ini. Dari lapan bilion ini ada 17 juta orang hidup dalam sebuah negara ditengah-tengah padang rumput yang bernama Kazakhstan. Ibu kotanya bernama Astana.

Jauhnya Astana dari Kuala Lumpur ialah 3,748.4 batu. Kalau naik pesawat Air Astana akan mengambil masa 8 jam. Kalau naik Rayani Air mungkin 15 jam kerana juruterbang dan anak kapal wajib berhenti ambil wuduk di Mumbai. Kalau naik pesawat MAS belum pasti sampai mungkin pesawat MAS ini melencong ke Melbourne.

Tapi bukan ini yang hendak hamba kisahkan. Hamba hendak berkisah tentang seorang jantan dari Astana yang telah bersusah payah membuat fotokopi surat berhenti sekolah. Membuat salinan sijil sekolah. Membuat sijil TOEFL yang membuktikan jantan ini boleh berbahasa Inggeris. Semua sijil-sijil ini dicap cemerlang dengan kepujian kelas A+++.

Lalu si jantan ini melamar masuk ke Kulombia Universiti. Opps maaf salah eja. Columbia University New York. Dalam masa yang sama bunga sekuntum milik Rosmah juga melamar masuk ke universiti yang sama.

Bayangkan ada 30,000 jantan betina belajar di universiti ini. Ada jantan kacak Latino. Ada jantan kacak Tok Arab. Ada jantan sasa hitam, putih. Ada putera raja. Ada anak Cartel Latino. Pilih punya pilih kuntum milik Rosmah memilih untuk berpacar dengan Jantan Kazakhstan. Akhirnya mereka berkahwin.

Di belakang cerita kahwin ini ada cerita pelik tetapi benar. Ada besi berani yang merapatkan dan menarik mereka. Inilah kuasa Yang Maha Kuasa. Ini Karma segala Karma dalam dunia ini.

Tuan hamba mungkin tidak percaya apabila hamba beri tahu bahawa Jantan Kazakhstan ini telah menipu surat sijil sekolahnya. Lagi pelik apabila diberitakan bahawa Jantan Kazakhstan ini juga sedang dicari oleh FBI kerana kes menipu jual beli rumah.

Jangan tuduh hamba membuat fitnah. Jangan tuduh hamba menabur tohmah. Semua kesah ini hamba pungut dari akhbar New York bukan dari Utusan Tipu Melayu atau dari Berita Hairan.

Cerita pelik ini tidak tamat di sini. Hamba hendak membuktikan tentang wujudnya kuasa Yang Maha Kuasa yang telah merapatkan dua makhluk ini sehingga satu dunia tidak percaya. Ramai menggeleng kepala tidak percaya. Walhal semua ini adalah kisah benar tetapi pelik.

Pusing punya pusing kitar punya kitar baru-baru ini akhbar New York telah melaporkan bagaimana ibu kepada jantan Kazakhstan ini telah membeli berbelas-belas beg tangan Hermes. Seperti telah tersurat dalam Loh Mahfuz, si Ibu ini telah enggan membayar harga beg yang hampir satu juta dolar Amerika.

Si ibu ini bukan saja enggan membayar malah telah mengugut tuan empunya kedai. New York menjadi heboh kerana ibu ini telah menjual nama besannya. Ibu ini dengan bangga telah memperkenalkan dirinya sebagai besan kepada Muhammad Najib bin Abdul Razak - Taiko Bani Melayu.

Disebut sahaja nama Muhammad Najib, fail FBI terbuka luas. Ini kerana dikatakan FBI sedang menyiasat kes mendobi duit di Amerika. Dalam masa yang sama jantan Kazakhtan ini juga sedang dicari FBI. Kini ditambah satu lagi kes – si ibu pula lari dengan beg Hermes. Semua menjadi berita terkini lagi sensasi tahun 2015, maka New York jadi heboh.

Sambung punya sambung – kisah terus berkisah – cerita bertambah takjub apabila akhbar New York melaporkan bagaimana ibu ini dikatakan terlibat dalam kes bunuh kekasih suaminya. Aduh! Bila berita ini muncul hamba macam tak percaya. Hamba terus teringat kepada arwah Altantuya. Betulkan laporan dari New York ini?

Membaca semua ini membuatkan hamba duduk bertafakur. Hamba bertenang diri. Maka inilah bukti kuasa Yang Maha Kuasa. Walaupun dunia ini ada lapan bilion penduduk tetapi apabila seekor perempuan dari Astana dan seekor dari Putrajaya ingin dipertemukan maka mereka akan bertemu juga.

Seribu halangan seribu rintangan semuanya dilupus. Pertemuan dua watak seirama ini terjadi juga akhirnya.

Mungkin tuan hamba tidak percaya apa yang hamba tulis ini. Saekor perempuan suka beg Hermes.

Saekor lagi suka beg Birkin. Dua-dua ekor perempuan ini bukan saja menjadi besan, bukan sahaja memiliki sejarah yang sama malah perempuan dua ekor ini amat suka dengan Jacob Arabo tukang jual intan berlian di Manhattan.

Pelik tetapi benar. Inilah kisah takjub lagi menakjubkan untuk tahun 2015. Sedih tetapi sahih. Amin. Selamat tahun baru.



Tiada ulasan: