Khamis, 7 Januari 2016

Qu Puteh dan KAFA bukan Hikayat Puteri Gunung Ledang




Oleh Ronasina


Sekali pandang kisah Datuk Seri Vida tuan punya produk kecantikan jenama Qu Puteh meletakkan dua syarat untuk dipenuhi oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) jika mahukan penajaan dari pihaknya seperti sebuah jenaka tetapi ia sebenarnya mengandungi moral kehidupan yang sangat serius.

Terdahulu diberitakan KAFA memerlukan dana RM15 juta untuk saingan liga Piala Malaysia 2016 dan Qu Puteh antara yang ‘dipinang’ untuk menaja pasukan bolasepak Kelantan yang bernama The Red Warriors (TRW).

Qu Puteh bersetuju jika dua syaratnya dipenuhi iaitu Stadium Sultan Muhammad IV dicat merah jambu dan nama pasukan bolasepak mestilah ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW).

Drama ini membentangkan filosuf kehidupan pada zaman ini di mana ‘siapa ada wang dia berkuasa’.
Dunia materialis mencipta hukum orang yang berkuasa berhak menentukan sesuatu untuk orang lain apatah lagi ke atas orang yang lemah dan terdesak.

Berapa ramai manusia pada hari ini di seluruh dunia dipaksa dan terpaksa bekerja serta melalui kehidupan yang bukan kehendak sendiri demi kelangsungan hidup menyara keluarga?

Hambatan kemajuan memaksa mereka menyerahkan tenaga untuk diperah kering oleh majikan yang hanya tahu menghitung untung. Pemerdagangan manusia berlaku rentetan dari terdesaknya hidup.

Bukan rakyat bawahan sahaja terpaksa bekerja keras menampung hidup dan menyara keluarga, menteri pun ada yang terpaksa buat dua kerja.

Inilah ikhtiar hidup (survival) yang terpaksa dilalui tanpa kompromi. Kerana wang, manusia bersesakan di lebuhraya setiap hari bekerja untuk membayar bil-bil yang muncul di hujung bulan. Tidak ada tawaran tolak ansur berlaku. Mesti dibayar. Hendak bayar, bekerjalah apa sahaja.

Manusia yang lemah dan terdesak akan berbuat apa sahaja asalkan terus hidup walaupun rundingan kesepakatan selalunya tidak langsung menguntungkan pihaknya tetapi biarlah asalkan tidak terlalu rugi. Apa pilihan lagi yang ada?

Kisah dua syarat Qu Puteh ke atas KAFA bukanlah hal hebat yang perlu diperbesarkan. Ia bukan seperti kisah legenda Puteri Gunung Ledang yang meletakkan tujuh syarat pelik untuk Sultan Mahmud penuhi jika mahu memperisterikan dirinya. Syarat ganjil Puteri Gunung Ledang sebenarnya sendiri adalah suatu penolakan. Tidak wujud perasaan cinta.

Tujuh syarat pelik Puteri Gunung Ledang adalah kubu yang dibina untuk menutup terus peluang Sultan yang bercita-cita memilikinya.

Manakala syarat Qu Puteh adalah sebuah tawaran untuk mengikat sebuah tali percintaan yang menjanjikan situasi sama-sama menang. Jika sama-sama setuju, hati sudah suka sama suka apalah ada pada nama,
boleh sahaja ditukar. Andai cinta sudah berpaut, merah jambu itu romantik! Jangan kata wang tidak selalunya boleh membeli cinta. Jangan! Cinta boleh datang bertemankan wang.

Cuma dari perspektif yang lain, di ruangan ‘moral of the story’ pada kamus realiti kehidupan, wang adalah kuasa dan pemiliknya akan beroleh kesaktian menakluki dan memaksa orang lain yang terdesak untuk tunduk mengalah.

@ronasina merupakan pelukis/ penulis/ aktivis dan pengasas kempen Hope2Walk kesedaran tentang Cerebral Palsy.

Tiada ulasan: