Sabtu, 9 Januari 2016

PRU, PRK: Hanya satu calon wakili Pakatan Harapan

Anthony Loke


SHAH ALAM - Pakatan Harapan hanya akan meletakkan satu calon bagi mewakili gabungan itu dalam sebarang pilihan raya umum atau kecil.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, calon tersebut akan dipilih parti masing-masing dan mendapat persetujuan Majlis Presiden terlebih dahulu.

"Prinsip bagaimana untuk putuskan calon dari parti mana, kita ambil faktor keberangkalian untuk menang. Semua jawatankuasa pilihan raya dari ketiga-tiga parti akan runding.

"Tetapi keputusan akhir dan masalah pengagihan kerusi akan dibawa ke Majlis Presiden. Kita juga setuju tiada parti yang akan buat keputusan sendiri dalam hal berkaitan pilihan raya," katanya ketika pembentangan Perjanjian Pakatan Harapan di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi Parti Amanah Negara (Amanah), Suhaizan Kaiat berkata, Fasal 7 dalam Perjanjian Pakatan Harapan memberi peruntukan untuk menyingkirkan mana-mana parti yang melanggar perjanjian tersebut.

"Kita belajar dari kesilapan lalu semasa dalam PR. Dulu tiada parti yang boleh keluarkan parti lain dari PR... ini satu pengajaran kepada kita.

"Sekarang, jika ada parti langgar perjanjian dan buat kesalahan, dua parti lain yang majoriti boleh putuskan untuk singkir parti yang minoriti.

"Ini dapat elakkan ada parti buat dua kerja, dia perkasakan Pakatan Harapan dan dalam masa sama runtuhkan Pakatan Harapan," katanya.


Tiada ulasan: