FERNANDO FONG
Surintan bergambar di atas puncak Gunung Kinabalu. - Foto ihsan Surintan
KUALA LUMPUR, Surintan Ramanaiboo terkejut, apabila disahkan menghidap kanser limfoma tahap dua dan di ambang tahap tiga, pada Disember 2014.
Imbasan Positron Emission Tomography (PET) turut mendedahkan pemuda berusia 26 tahun itu mempunyai tumor di dada dan lehernya.
Beliau yang mengamalkan gaya hidup sihat
dan aktif dengan aktiviti luar, terkejut sebaik sahaja dimaklumkan
doktor, selepas menjalani pemeriksaan rutin di hospital.
Bagaimanapun, Surintan tidak pernah
mengalah dan terus menjadi inspirasi kepada orang lain, dengan mendaki
Gunung Kinabalu dan diiringi seorang malim gunung.
Dalam temu bual bersama The Rakyat Post, lepasan
jurusan Elektrik dan Elektronik itu menjelaskan, beliau memasang hasrat
itu, kerana mahu melakukan yang terbaik untuk dirinya, termasuk kekal
aktif semasa menjalani rawatan kanser.
Beliau
berdepan pelbagai komplikasi ketika menjalani rawatan kemoterapi,
sehingga satu tahap beliau terpaksa bergelut untuk berjalan.
Berat badannya juga susut 20 kilogram dan
sangat lemah, kerana rawatan kemoterapi membunuh sel-sel dalam badan,
tidak kira baik atau tidak baik.
“Saya tidak boleh menggerakkan badan saya
tanpa rasa sakit, tidur bukan perkara mudah, dan walaupun saya sedang
tidur, saya tidak dapat tidur nyenyak.
“Lebih teruk, saya mengalami chemo burn
(ubat kemoterapi masuk ke dalam tisu di sekeliling urat) di tangan
saya, saya hampir tidak boleh mengangkat saya tangan,” katanya.
Selepas menamatkan rawatan kemoterapi pada Ogos tahun lalu, beliau disyorkan oleh doktor untuk menjalani radioterapi.
Ketika itu, beliau mula
berjalan dengan pantas dan ia agak mencabar, kerana beliau akan
tercungap-cungap, selepas berjalan hanya 100 meter.
Setelah beliau kembali kuat, Surintan bermula dengan aktiviti jungle trekking di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) secara tetap.
“Matlamat saya adalah
untuk membuktikan kepada diri saya sendiri, dan terutamanya kepada ibu
bapa saya, bahawa saya tidak lemah dan mereka tidak perlu bimbang dengan
anak lelaki tunggal mereka lagi,” katanya.
Pendakian itu amat sukar, apabila beliau memulakan perjalanan ke puncak pada jam 2 pagi.
Ini kerana, suhu jatuh ke 2 darjah Celsius, mukanya kebas akibat tiupan bayu dan beliau hampir tidak dapat merasakan jarinya.
“Apabila saya akhirnya sampai ke puncak, saya terharu dengan perasaan bercampur baur.
“Saya tidak pernah begitu
bangga dengan diri sendiri. Semua rawatan kanser muncul di kepala saya,
bagaimana keluarga banyak berkorban untuk saya, bagaimana saudara mara
dan rakan-rakan memberi galakan kepada saya, penderitaan yang saya
lalui.
“Pandangan dari puncak, itu adalah berbaloi,” katanya.
Beliau menyifatkan
pengalamannya berjuang dengan penyakit kanser adalah perkara paling
sukar ditanganinya, namun semua pengalaman ketika menjalani rawatan
memberi perspektif berbeza dalam mengharungi cabaran hidup.
Jelasnya, apabila masalah timbul, tiada
gunanya menangis, sebaliknya seseorang itu perlu meneruskan langkah
dengan mengambil tindakan seterusnya.
“Belajar daripada kegagalan dan berusaha untuk menjadi orang lebih baik,” demikian nasihat Surintan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan