Ahad, 10 Januari 2016

Perbicaraan Oleh Mahkamah Pendapat Umum


AHLI sains politik dan teori komunikasi Amerika, mendiang Harold Dwight Lasswell (Februari 13, 1902 – December 18, 1978) berkata: “The open interplay of opinion and policy is the distinguishing mark of popular rule.”

(Saling tindakan terbuka antara pendapat dan dasar adalah tanda nyata demokrasi popular.)

Jadi, oleh sebab kita mengamalkan demokrasi popular, di mana kerajaan dipilih oleh rakyat jelata melalui pilihan raya, maka pendapat umum adalah sangat penting.

Kuasa rakyat jelata memilih kerajaan mungkin terhad kepada sekali dalam masa empat atau lima tahun, tetapi hak mereka mengemukakan pendapat berterusan sepanjang masa. Itulah sebenarnya peranan Parlimen – tempat wakil rakyat bersuara bagi pihak rakyat.

Jadi adalah sangat dangkal dan anti-demokrasi apabila ada wakil rakyat dan pegawai atasan negara yang bukan sahaja tidak bercakap bagi pihak rakyat jelata sebaliknya menafikan hak rakyat jelata bersuara dan menyumpah seranah mahkamah pendapat umum (the court of public opinion).

Maka dalam konteks inilah saya rasa Peguam Negara  (AG) (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali perlu menerima "perbicaraan" di  mahkamah pendapat umum ke atas kes-kes sensasi seperti urus niaga luar biasa 1MDB, “derma” RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib bin Abdul Razak, siasatan salah guna wang SRC International dan yang terbaru isu-isu berkaitan “kewangan” Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) berikutan kematian bekas pengerusinya, (Tan Sri Jamaluddin Jarjis) dalam nahas helikopter pada 5 April lalu.

Sepatutnyalah, sebagai bekas peguam, ahli politik dan hakim Mohamed Apandi sudah biasa dengan hak masyarakat  umum  untuk menilai dan  membuat  keputusan  mengenai  sesuatu  perkara  atau isu.

Mohamed Apandi sepatutnya peka terhadap pendapat umum
Saya yakin beliau lebih  daripada biasa dan faham mengenai kecenderungan mahkamah pendapat umum. Apatah lagi isteri beliau sendiri adalah bekas wartawan dan adik ipar beliau adalah ketua pengarang sebuah portal berita bebas. Kedua-dua mereka adalah anak buah saya di New Straits Times.
 

Perbicaraan Oleh Rakyat Jelata

Selagi beliau tidak membawa kes-kes yang disebutkan di atas ke mahkamah undang-undang (the court of law), selagi itulah rakyat jelata akan membicarakannya dalam mahkamah pendapat umum.

Hatta selepas dibawa ke mahkamah pengadilan sekalipun mahkamah pendapat umum tetap akan memberi keputusannya sendiri, khususnya dalam kes yang membabitkan orang politik.

Kita ambil contoh dua kes liwat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Sampai hari ini pun masih ramai dalam mahkamah pendapat umum enggan percaya beliau bersalah. Di kalangan yang percaya terhadap kesalahan beliau pula, ramai menganggapnya sebagai konspirasi politik.

Mereka bertanya, yang mana lebih teruk - perbuatan sumbang antara dua manusia atau tindakan yang melibatkan berbilion-bilion duit serta harta negara?

Dalam konteks yang sama jugalah, kakitangan awam peringkat tertinggi seperti  Mohamed Apandi, Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar), Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Ali Hamsa), Gabenor  Bank Negara (Tan Sri Zeti Akhtar Aziz), Ketua  Setiausaha  Kementerian  Kewangan (Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah), Ketua Pesuruhjaya PSRM (Tan Sri Abu Kassim Mohamed) dan peneraju-peneraju 1MDB, SRC International dan yang terbaru PR1MA sedang atau akan dibicarakan di mahkamah pendapat umum sebelum kemungkinan mereka dibicarakan di mahkamah undang-undang.

KSN Ali Hamsa bersama bosnya
Kalau agensi-agensi penguat kuasa seperti polis, SPRM dan Bank Negara benar-benar bebas dan AG pula menjalankan tugas “without fear or favour” (tanpa takut atau berat sebelah) seperti beliau ikrarkan berulang kali, ramai yang terlibat dengan kes-kes di atas pasti akan dihadapkan ke mahkamah undang-undang.

Penjawat Awam Akan Dimangsakan

Satu perkara lagi. Oleh sebab majoriti penjawat awam adalah Melayu dan Islam, maka saya beranggapan mereka adalah manusia berbudi dan beriman (budiman) yang ada rasa malu kepada sesama manusia dan takut kepada balasan Tuhan.

KSU Perbendaharaan bersama bosnya, Menteri Kewangan
Dalam lipatan sejarah banyak kisah tragis penjawat awam disiasat, dituduh di mahkamah dan disumbat ke dalam penjara kerana bersubahat dengan ketua-ketua politik mereka atau dijadikan kambing korban untuk menyelamatkan bos-bos politik mereka.

Seperti sering saya ungkapkan, orang politik berbohong adalah taktik tetapi kakitangan awam berbohong adalah jenayah.

Kakitangan awam tentu tahu kisah-kisah yang membabitkan pemenjaraan penjawat awam dan eksekutif syarikat berkaitan kerajaan seperti Bank Rakyat, BMF dan, yang terbaru, kisah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Aziz Muhammad, yang dituduh bersubahat pecah amanah dan menipu pada tahun 2005.

Ramai percaya beliau adalah mangsa (the fall guy). Alhamdulillah Mahkamah Sesyen telah melepas dan membebaskan beliau dan ini disahkan oleh mahkamah-mahkamah yang lebih tinggi. Namun mana beliau cemar, jiwa tertekan dan keluarga beliau mendapat malu.

Kemudian kes terbaru empat orang pegawai Pejabat Tanah dan Galian Pahang ditangkap oleh SPRM dalam kes perlombongan bauksit. Serta-merta mahkamah pendapat umum menyifatkan mereka sebagai “ikan bilis” kerana pasti ada “jerung” di sebalik operasi perlombongan raksasa yang merosakkan alam sekitar itu.

Natijahnya, kakitangan awam dan sesiapa pun yang diberikan tugas oleh bos-bos politik hendaklah beringat-ingat iaitu merekalah yang pertama sekali akan masuk penjara, dikutuk dan dihina kalau mereka tidak amanah, bersubahat dan menjadi pemakan dedak.

Wallahuaklam.


Tiada ulasan: