Khamis, 28 Januari 2016

Perang dua keluarga bakal punca UMNO hilang Kedah

 
Pertempuran dua keluarga berpengaruh di Alam Melayu boleh menyebabkan UMNO terlepas Kedah ke tangan PAS.
 
 
 
najib-mukhriz


Negeri Jelapang Padi pada bulan ini mendapat tumpuan yang teramat luar biasa berbanding bulan-bulan terdahulu.

Ini semua berpunca daripada pertempuran maha hebat antara Wangsa Wan Mat Saman (House of Wan Mat Saman) dengan Wangsa Mohammad Noah (House of Mohammad Noah) yang mahu merebut takhta politik di Alam Melayu.

Wan Mat Saman adalah Perdana Menteri Kedah abad ke-19, manakala, Mohammad Noah adalah antara pengasas UMNO dan Speaker pertama Dewan Rakyat yang berketurunan Raja Chempa Bugis.

Dua wangsa ini adalah wangsa atau keluarga atau dinasti, yang berpengaruh di Tanah Melayu sejak hampir 100 tahun lalu dan pertelingkahan mereka menarik macam siri televisyen terbitan HBO, Game of Thrones.

Bergegar rakyat Kedah dan ahli UMNO seluruh negara apabila anggota Wangsa Wan Mat Saman, Mukhriz Mahathir mahu digugurkan selaku Menteri Besar Kedah, dipercayai atas ‘restu’ seorang anggota Wangsa Mohammad Noah, iaitu Najib Razak yang juga Perdana Menteri Malaysia.

Kita percaya, Najib merestui cubaan menggugurkan Mukhriz kerana ‘serangan ganas’ daripada seorang lagi anggota Wangsa Wan Mat Saman iaitu Dr Mahathir Mohamad, yang juga ayahanda Mukhriz, yang mahu Najib melepaskan jawatan.

Mengikut catur politik, tindakan Wangsa Mohammad Noah mengganggu Wangsa Wan Mat Saman adalah tindakan tidak bijak, kerana Kedah adalah kubu kuat dan tempat asal majoriti anggota Wangsa Wan Mat Saman.

Mukhriz sebenarnya meneruskan tradisi Wangsa Wan Mat Saman mengetuai Kerajaan Kedah, yang mana ia dimulakan Wan Mat Saman sendiri pada tahun 1870.

Malah, kalau diikutkan Sultan Kedah, Sultan Sir Abdul Hamid Halim Shah ibni Sultan Ahmad Tajuddin al-Mukarram Shah dan semua Sultan Kedah selepasnya, adalah anggota Wangsa Wan Mat Saman, iaitu daripada Wan Hajar Wan Ismail, iaitu saudara perempuan kepada Wan Mat Saman.

Sehubungan itu, Najib daripada Wangsa Mohammad Noah tak sepatutnya mengacau Wangsa Wan Mat Saman dan langkah itu boleh menggugat kedudukan UMNO di Kedah. Mukhriz disenangi rakyat Kedah dan antara faktor menyebabkan Mukhriz disukai ialah faktor asal-usulnya daripada Wangsa Wan Mat Saman.

Wangsa Wan Mat Saman yang dianggotai Dr Mahathir, Mukhriz beserta keluarga diraja Kedah adalah wangsa orang Melayu yang cukup berpengaruh sejak tahun 1870, berbanding Najib daripada Wangsa Mohammad Noah berketurunan Bugis yang baharu mendapat pengaruh pada tahun 1946.

Cuba fikirkan, apa perasaan rakyat Kedah apabila mendengar perkhabaran bahawa anggota Wangsa Wan Mat Saman yang menjadi Menteri Besar Kedah dikacau oleh anggota Wangsa Mohammad Noah dari luar Kedah?

Kita yakin, orang Kedah mesti akan merasa tidak puas hati dan impaknya ialah jentera pilihan raya UMNO Kedah bakal menerima bala. Silap besar kalau Wangsa Mohammad Noah pandang rendah kekuatan Wangsa Wan Mat Saman di Kedah.

Silap haribulan, Kedah boleh kembali semula kepada pembangkang atau lebih tepat lagi PAS, asalkan ada restu anggota Wangsa Wan Mat Saman dan bukannya anggota Wangsa Mohammad Noah.

Tiada ulasan: