Ahad, 10 Januari 2016

Penoreh derita tapi poket mereka terus diseluk kerajaan



Oleh Zulkifli Yahaya


BULAN Disember, Januari, Februari dan Mac di Utara Semenanjung, dipanggil Musim Timur. Angin dari Timur biasanya bertiup kencang sepanjang waktu. Siang akan mengalami panas terik dan seringkali berlaku kemarau akibat ketiadaan hujan pada awal tahun.

Aktiviti penanaman padi melalui kaedah menabur benih tidak boleh dibuat di Musim Timur. Jadual penanaman padi yang ditetapkan pihak MADA juga begitu. Benih yang ditabur tidak akan tumbuh sempurna kerana pukulan angin, diburukkan lagi dengan tanah yang kering akibat panas berlebihan.

Lagi produktivti yang terjejas pada Musim Timur ialah penghasilan susu getah. Di kala ini pokok getah akan kehilangan kesemua daunnya, kemerahan dan berguguran. Daun baharu yang menghijau akan muncul menggantikannya.

Ketika ini para penoreh akan merasai keperitannya kerana penghasilan susu dari pokok getah akan turun mendadak. Ia bukan perkara baru. Kitaran alam yang Allah ciptakan ini sudah berlangsung sekian lama.

Namun yang menambah keperitan penoreh getah ialah, di kala ini juga harga getah jatuh merudum. Sudah dua tahun berlalu tiada perkembangan menggalakkan berhubung harga getah. Harga terkini, sekilogram getah sekerap ialah RM1.90. Paling tinggi hanya mampu mencecah RM2.20, belum mencukupi untuk membeli sekilogram gula.

Di Kedah, terdapat kira-kira 120 ribu penoreh getah yang bergantung hidup dengan pokok getah sebagai sumber pendapatan.

Umumnya pendapatan terkini penoreh adalah antara RM400 hingga RM900 sebulan. Ramai yang tertanya-tanya bagaimana mereka boleh hidup, berbelanja untuk keperluan harian, menguruskan persekolahan anak serta melunaskan pelbagai bil.

Tentulah boleh hidup kerana setakat ini tiada berita penoreh yang mati kebuluran, tetapi keperitan yang dialami oleh mereka hanya Allah yang tahu.

Semua tahu kedatangan 2016 membawa 1001 keperitan. 2015 pernah disytihar sebagai Tahun Derita Rakyat. Kini penderitaan rakyat makin bertambah. Di Kedah, 1 Januari 2016 adalah tarikh berkuatkuasanya kenaikan kadar cukai tanah.

Tahun baharu juga menekan rakyat dengan kenaikan tarif elektrik, pertambahan yuran persekolahan pelajar sekolah, peningkatan tambang pengangkutan awam, kenaikan harga beras ST15 serta bermacam lagi kenaikan. Masyarakat penoreh paling menderita.

Harga getah dikatakan bukan ditentukan oleh kerajaan, justeru kerajaan dikatakan tidak mempunyai kuasa untuk menaikkan harga getah untuk membela golongan penoreh. Alasan lapok itu telah digunakan oleh kerajaan sejak berzaman untuk mempertahankan kenapa masyarakat getah tidak dapat dibela. Anehnya menjelang pilihan raya, harga getah boleh pula meningkat sehingga para penoreh pun takut menukar kerajaan, dikhuatiri harga getah jatuh semula.

Dried Rubber Content (DRC) atau kandungan getah kering dalam getah sekerap adalah penentu harga sekerap. Lagi tinggi DRC lagi tinggi harga sekerap.

DRC sekerap dari kebun (natural rubber) di Malaysia diandaikan 50 peratus, maka harganya antara RM1.80-RM2.00 hari ini.

Harga sekerap Thailand yang 100 peratus DRCnya berada pada harga dua kali ganda Malaysia.

Di Thailand, penoreh masih mengusahakan getah keping berasap/kering seperti yang dilakukan oleh penoreh kita lebih 30 tahun dahulu. Apabila DRCnya tinggi tentulah harga lebih mahal. Persoalan menarik untuk ditimbulkan, jika pihak berkuasa terpaksa bergantung kepada kadar DRC dan harga akhir di pasaran internasional (FOB) untuk menentukan harga sekerap, bagaimana kos dalam rantaian getah
(pengangkutan, pemprosesan di kilang, komisen pedagang dan percukaian) dapat diminimumkan supaya harga sekerap dapat ditingkatkan? Apa yang kerajaan atau pihak berkuasa getah buat untuk atasi isu tersebut.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Muhammad Sanusi Md Nor yang juga selaku Pengerusi Asas Tani dan Alam Sekitar, mempersoalkan bagaimana kos memproses getah sekerap menjadi SMR20 ditentukan oleh pengilang, tanpa kawalan kerajaan.

“Makin tidak cekap pengilang (mesin, operator, efisiensi, harga minyak, tarif elektrik dan kadar untung yang kapitalis mahukan) makan makin mahallah kos memproses sekerap,” ujarnya.

Tambahnya, oleh kerana FOB sudah ditentukan di pasaran antarabangsa, semakin mahal kos memproses getah, tekanan harga dihalakan ke bawah, maka semakin murahlah harga getah sekerap di ladang.

“Kenapa beban akhir harga getah dihempaskan ke atas orang motong, bukan kepada pemain industri?” soalnya.

Penentu besar dalam harga getah antarabangsa ialah Tokyo Commodity Exchange (TOKOM) di Jepun, sebuah negara yang tidak mengeluarkan getah.

Pokok getah tidak dapat tumbuh di Jepun tetapi harga getah boleh ditentukan oleh mereka.Bukankah ia satu keanehan, seolah-olah Malaysia belum merdeka kerana bergantung hidup dengan pihak lain.

Tahun 70-an dahulu Malaysia adalah pengeluar terbesar getah dunia. Ekoran kemunculan teknologi baharu yang mewujudkan getah tiruan, industri getah negara terancam. Banyak pihak yang bertanggungjawab terhadap getah sebagai komoditi penting negara dalam bidang masing-masing seperti Lembaga Getah Malaysia, Risda, Kementerian Asas Tani, Kementerian Perdagangan – namun nampaknya semuanya sudah tidak berguna untuk membela nasib para penoreh yang bergantung sumber pendapatan dengan hasil getah.

Jika kerajaan terus gagal untuk membela nasib penoreh getah, lupakan saja sektor getah sebagai sumber pendapatan rakyat.

Kerajaan kena fikirkan dengan serius bagaimana mahu membela nasib penoreh melalui alternatif lain.
Inilah fungsi utama kerajaan iaitu membela nasib rakyat sepanjang masa. Bukan hanya fikir bagaimana mahu menyeluk poket rakyat melalui cukai tanah atau GST.

Tiada ulasan: