Khamis, 7 Januari 2016

PEDULIKAH MEREKA DENGAN HARI PEMBALASAN?

shahbudindotcom

 
 
 
Tidak senang dengan langkah menjual tanah Bandar Malaysia kepada pihak asing untuk membayar hutang 1MDB, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia atau DPMM nampaknya terpaksa memilih pendekatan bercorak keagamaan dengan memberi peringatan berhubung "hari pembalasan" kepada kerajaan berhubung tindakan itu.

Memetik kata-kata bapa Najib, Allahyarham Tun Razak yang pernah mengatakan "apabila tiba hari pembalasan, hukuman akan dilaksanakan" di majlis penubuhan UDA, Presiden DPMM, Syed Ali Alattas berkata, terpulang kepada mereka memikirkannya kerana merekalah yang bertanggungjawab.

Katanya, DPMM tidak mempunya kaitan dengan perkara itu kerana ia melibatkan "orang besar" tetapi hanya ingin memberi peringatan tentang amanah dalam mentadbir negara.

Dewan tiada kuasa pun, tidak pernah mimpi untuk dapat semua ini. Kuasa ini semua "orang besar" yang dapat, dia juallah.

Tetapi ingat, ketika hari pembalasan, hukuman dilaksanakan, tambah beliau.

Peringatan ini sebenarnya selain ditujukan khusus kepada Perdana Menteri Najib Razak,  juga turut disasarkan kepada semua anggota kabinet dan pimpinan tertinggi UMNO yang tidak bersuara sedikit pun mengenai penjualan tanah tersebut.

Barangkali kerana menyedari teguran, kritikan dan pandangan banyak pihak yang tidak setuju dengan penjualan tanah kepada pihak asing itu tidak menimbulkan sebarang kesan selama ini, lalu membuatkan Syed Ali cuba mengingatkan mereka yang bertanggungjawab mengenai pertanggungjawaban akhir yang mesti mereka hadapi.

Soalnya, apakah mereka benar-benar peduli dengan "hari pembalasan" itu? Pedulikah juga mereka tentang amanah kepada rakyat dan negara?

Atau  ada yang sudah bertaubat dan meminta ampun di depan Kaabah ketika umrah? 


Tiada ulasan: