Isnin, 4 Januari 2016

PAS Pusat tak mahu beri kerusi PBT kepada PAN, kata Iskandar

 Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Pusat memutuskan enggan memberi laluan kepada Parti Amanah Negara (PAN) dalam pembahagian kerusi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.
 
Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, beliau mendapat mandat untuk mewakili PAS Pusat sebagai Naib Presiden parti itu.
 
Katanya lagi, keputusan itu sudah pun dimuktamadkan.
 
"Pusat telah turunkan kuasa kepada PAS Selangor (untuk tidak memberi ruang kepada PAN). Saya Naib Presiden yang mewakili PAS Pusat," katanya dalam satu kenyataan.
 
Sebelum ini, Iskandar membuat kenyataan PAS bertegas tidak akan memberikan ruang kepada PAN untuk mendapatkan kouta ahli majlis PBT dalam kerajaan negeri.
 
Dalam pada itu, menurut Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr. Daroyah Alwi, isu gesaan Menteri Besar itu supaya PAS dan DAP memberi sedikit ruang kepada PAN akan diputuskan diperingkat parti.
 
Langkah itu diambil setelah satu mesyuarat diperingkat exco kerajaan negeri yang dipengerusikan Datuk Seri Azmin Ali membuat gesaan berkenaan.
 
"Mereka akan bincangkan di peringkat parti, jadi apa keputusan PAS tersebut untuk memberikan kerusi Ahli Majlis PBT kepada PAN kita tidak tahu lagi.
 
Jelas ADUN Sementa itu, segala keputusan di peringkat negeri harus mendapat kebenaran diperingkat pusat.
 
"Saya tidak pasti, tapi diperingkat parti PAS yang akan membuat keputusan, semua keputusan yang telah selesai adalah diperingkat parti barulah bawa kepada peringkat negeri.
 
Kenyataan Iskandar turut disahkan Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman.
 
Katanya, PAS akan kekal dalam kouta berkenaan tanpa memberi laluan kepada PAN.
 
"PAN bukan sebahagian daripada kerajaan negeri dan mereka tidak mewakili suara rakyat," katanya.
 
Menjawab persoalan itu, Khairuddin berkata DAP dan PKR yang seharusnya memberi kerusi mereka kepada rakan sekutu baru mereka PAN.
 
Memburukkan keadaan apabila PAN Selangor tetap dengan keputusan mahukan kouta 24 kerusi ahli majlis PBT di negeri berkenaan dengan alasan PAN adalah sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan.
 
Pengerusinya Izham Hashim berkata PAN menuntut kouta antara 24 hingga 34 kerusi diberikan kepada parti berkenaan.
 
Difahamkan kesemua nama-nama calon ahli majlis PBT daripada PAN akan diserahkan kepada pejabat Menteri Besar hari ini.
 
Kelmarin, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Azmin Ali menggesa agar PAS dan DAP memberi ruang kepada PAN dalam isu pengagihan dan pelantikan ahli majlis PBT di negeri berkenaan.
 
Jelas Azmin, PAS-DAP-PKR sudah dimaklumkan mengenai siu berkenaan dalam majlis mesyuarat exco kerajaan negeri yang mengambil tempat Rabu lalu.
 
Ujar beliau, PKR telah pun melakukan pengorbanan apabila menyerahkan sebilangan kerusi PBT miliknya kepada rakan politiknya.
 
 

Tiada ulasan: