Ahad, 10 Januari 2016

PAS paling berpengalaman di negara ini, kata Hadi

 
Presiden PAS itu yakin Pakatan Harapan dan AMANAH tidak menjadi ancaman kuat kepada PAS


hadi,pas


KUALA SELANGOR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa parti Islam itu paling ‘berpengalaman’ di negara ini dan semakin berkembang kukuh sejak ditubuhkan zaman sebelum merdeka.

“PAS adalah parti politik yang paling berpengalaman di Malaysia. Sejak sebelum merdeka hingga hari ini. Pakatan bukan perkara baharu. Pakatan Harapan dan segala macam pakatan sudah ada sejak 60 tahun yang lalu.

“Ada (pakatan parti) yang rebah dan meninggal dunia. Ada yang telah roboh dan tidak bangkit semula. Tetapi kita (PAS) terus melngkah dan mendapat sokongan rakyat. Kami telah berkembang kukuh hari demi hari,” kata Hadi pada sidang media selepas pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Selangor di sini, hari ini.

Hadi juga menegaskan bahawa PAS tidak mempunyai masalah untuk berhadapan dengan Pakatan Harapan dan parti serpihannya, AMANAH kerana parti itu pernah berdepan cabaran yang lebih sengit sebelum ini.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, sebelum ada AMANAH, sudah ada parti serpihan seperti Barisan Islam Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Rakyat Muslim Malaysia (HAMIM) yang lebih kuat kerana mendapat sokongan daripada BN dan Kerajaan Persekutuan.

PAS menyertai Pakatan Rakyat sejak 2008 tetapi gabungan itu terkubur selepas pergaduhan terbuka dengan bekas sekutu, DAP, tahun lalu.

Perpecahan itu membawa kepada kelahiran AMANAH yang diketuai oleh bekas timbalan Hadi, Mohamad Sabu.

PAS dan DAP mengadakan kerjasama secara berasingan dengan PKR dalam mentadbir Selangor.

Tiada ulasan: