Isnin, 11 Januari 2016

PAS berhak pertahan kerusi, kata naib presiden PKR

THE MALAYSIAN INSIDER

Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata ia merupakan hak PAS untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Januari, 2016.Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata ia merupakan hak PAS untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
PKR menganggap walaupun masih terlalu awal bagi setiap pihak membincangkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS berhak mempertahankan setiap kerusi yang dimenanginya, lapor Sinar Harian hari ini. 
 
 Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memaklumkan parti itu tidak akan menyerahkan satu pun kerusi yang ditandinginya kepada parti pembangkang lain dalam PRU akan datang.

"PAS berhak mempertahankan kerusi yang mereka menangi, memandangkan itu hak mereka (PAS).

"Pada saya, terlalu awal untuk simpulkan pertembungan tiga penjuru. "Sebelum ini, beberapa pemimpin PAS lain turut menyuarakan mengenai isu pembahagian kerusi, namun itu bukanlah merupakan pendirian rasmi PAS,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Shamsul menyifatkan kenyataan beberapa pemimpin PAS sebelum ini berhubung isu tersebut hanya cakap-cakap politik yang tidak sihat.

“Banyak perkara lain yang perlu menjadi fokus, antaranya nasib rakyat di samping memperjuangkan isu-isu besar, terutamanya membabitkan bebanan ekonomi negara pada masa kini,” katanya.

Tuan Ibrahim dalam kenyataannya menganggap tindakan PAS itu demi mempertahankan maruah memandangkan sebelum ini, parti itu berkali-kali menyerahkan kerusi yang ditandinginya kepada parti rakan setiap kali melakukan tahaluf siyasi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub berkata, keengganan PAS memberi sebarang kerusi kepada parti pembangkang lain pada PRU akan datang tidak memberi kesan kepada Pakatan Harapan.

Katanya, Amanah sentiasa berpegang kepada prinsip bersama parti komponen lain seperti diputuskan melalui Majlis Perjanjian Pakatan Harapan 2015.

“Amanah bersama Pakatan Harapan. Kita (Amanah) tidak terikat dengan apa-apa pandangan PAS. Jadi jika ada apa-apa, ia akan dibincangkan secara bersama dengan rakan-rakan pakatan lain,” katanya.


Tiada ulasan: