Isnin, 4 Januari 2016

PAS anjur taklimat khas isu kerjasama Sabtu ini

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: PAS akan mengadakan satu taklimat khas kepada pemimpin parti itu Sabtu ini, bagi menerangkan isu kerjasama dengan Umno, lapor Sinar Harian. 
 
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, taklimat khas itu akan disampaikan oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi dan waktu taklimat tersebut.
 
"Taklimat itu akan dihadiri pimpinan pusat, negeri dan wakil rakyat PAS. Kita (PAS), sekarang ini dalam proses memberi penjelasan tentang pendirian dan apa yang parti nak lakukan dalam menghadapi politik semasa. 
 
"Taklimat ini berkisarkan kepada keadaan semasa dan isu semasa PAS termasuk pendirian parti mengenai isu kerjasama PAS dengan Umno,” katanya.
 
Ujar Takiyuddin lagi, taklimat itu juga akan memberi peluang kepada semua peserta untuk bertanya sebarang soalan.
 
"Jadi, kepada yang kurang jelas kita akan jelaskan. Mereka yang mungkin terkeliru, kita akan terangkan supaya hilang kekeliruan itu terutama pimpinan PAS.
 
"Sebab apa yang dibuat oleh presiden kita adalah apa yang diputuskan oleh parti. Bukan buat keputusan sorang-sorang tetapi bincang ramai-ramai. Kemudian kita mahu turunkan (beritahu) kepada semua pihak (ahli) dalam parti supaya semua jelas dengan isu ini," katanya sambil menyarankan agar semua pimpinan parti itu hadir semasa taklimat berkenaan.
 
Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut menyarankan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang kerap mengkritik isu kerjasama itu agar menghadiri taklimat berkenaan. 
 
Husam sebelum ini menyatakan kebimbangannya bahawa kerjasama PAS dengan Umno akan memberi kesan kepada orang Melayu dan akan menjadi pelindung kepada agenda korupsi yang dilakukan Umno.
 
Mengulas mengenai hal itu ujar Takiyuddin, Husam mungkin tidak memahami pengertian kerjasama antara PAS dengan Umno seperti yang diterangkan oleh Abdul Hadi sebelum ini.
 
"Itu bergantung kepada niatnya dan yang tersurat sahaja kita boleh baca. Apa yang saya faham dengan apa yang tersurat itu mungkin dia tidak faham apa move (tindakan) yang akan dibuat oleh tuan presiden (Abdul Hadi)," katanya. 


Tiada ulasan: