Rabu, 6 Januari 2016

PAS akan adakan siri jelajah negara bagi perjelas isu kepada ahlinya

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS akan membuat siri jelajah bagi memberi penerangan kepada ahlinya di seluruh negara berkisar beberapa isu besar yang menghambat parti itu mutakhir ini.
 
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata siri jelajah itu akan bermula sebaik sahaja program taklimat khas oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Sabtu ini selesai.
 
"Lajnah Penerangan PAS telah diamanahkan untuk mengendalikan majlis taklimat khas Presiden PAS dan ia diadakan sebagai aktiviti rutin PAS selain konvensyen, muktamar, mesyuarat bulanan dan sebagainya untuk memberi pengarahan semasa dan pencerahan kepada pimpinan serta ahlinya terhadap sesuatu isu besar yang dihadapi.
 
"InshaAllah, Lajnah Penerangan akan turun ke seluruh negara sekali lagi untuk turun beri pengarahan, amanah dan pencerahan isu oleh presiden ke negeri-negeri selepas selesai taklimat khas presiden peringkat pusat," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.
 
Selain itu, beliau juga mengingatkan kepada semua ahli PAS supaya jangan mudah terpedaya dengan persepsi yang disebarkan pihak tertentu tetapi sebaliknya merujuk kepada sumber parti dengan menghadiri taklimat yang akan diadakan.
 
Sebelum ini media melaporkan PAS akan mengadakan satu taklimat khas bersama Hadi.
 
Bagaimanapun, lokasi dan waktu taklimat itu tidak didedahkan.
 
PAS pula telah menyatakan pendiriannya tidak akan menyertai BN tetapi akan meneruskan kerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan agama Islam.
 
Keputusan itu dibuat oleh Majlis Syura Ulamak Pas dalam mesyuarat Sabtu lalu di tengah-tengah kontroversi kerjasama antara Umno dan PAS.
 
"Majlis Syura Ulamak juga menegaskan bahawa PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional," kata Setiausahanya, Dr Nik Mohd Zawawi Salleh.
 
 

Tiada ulasan: