Khamis, 7 Januari 2016

Pakatan Harapan lancar dokumen rasmi 9 Januari

Oleh Fiza Abd Halim


KUALA LUMPUR : Pakatan Harapan bakal melancarkan perjanjian rasmi pada 9 Januari ini bagi memperkukuh kerjasama gabungan itu.

Dokumen Rasmi Pakatan Harapan itu akan ditandatangani ketiga-tiga parti gabungan itu – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Demokratik Rakyat (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

pakatan-harapan1Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dokumen rasmi tersebut bagi mengikat ketiga-tiga parti sebagai sebuah gabungan politik yang mampan, bersatu padu dan selari dengan sokongan rakyat terhadap agenda perubahan yang dibawa parti itu selama ini.

“Pakatan Harapan akan mengadakan persidangan pimpinan buat julung-julung kalinya pada 9 Januari 2016 di Pusat Persidangan SACC, Shah Alam dari jam 9 pagi yang bakal menyaksikan majlis memeterai perjanjian tersebut.

“Perjanjian akan memberi fokus kepada perkara-perkara utama yang menjadi prasyarat kepada pembinaan sebuah kesatuan politik yang mampan di antara ketiga-tiga parti,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu di Ibu Pejabat Amanah, hari ini.

Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, Pakatan Harapan juga akan memberi tumpuan seterusnya untuk membangunkan satu kerangka dasar-dasar jitu dan radikal ke arah mencari penyelesaian berkesan kepada setiap permasalahan rakyat.

“Kita akan mencari jalan penyelesaian masalah rakyat dan membina sebuah negara yang inklusif dan berdaya saing.

“Ini juga akan membentuk dokumen dasar-dasar bersama pakatan ini yang bakal diumumkan di Konvesyen Pakatan Harapan yang dijangka akan diadakan menjelang Jun 2016,” jelasnya.

Antara pimpinan Pakatan yang turut sama dalam persidangan itu adalah Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar; Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

Tiada ulasan: