Selasa, 26 Januari 2016

NAJIB TIDAK SAJA DIBERSIHKAN, SUCI HATINYA JUGA DIDEDAHKAN...

shahbudindotcom

 

 
 
 
Tiada kesalahan dan pendakwaan yang akan diambil terhadap Perdana Menteri, Najib Razak setelah penyiasatan lebih enam bulan oleh SPRM berhubung wang RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC International barangkali tidaklah begitu memeranjatkan kita semua.

Ini kerana keputusan itu pada umumnya sudah dijangka oleh sesiapa pun juga, cuma yang ingin ditunggu ialah bagaimana penolakan kes itu akan dilakukan oleh Peguam Negara.

Walaupun SPRM yang melakukan penyiasatan, tetapi sama ada pendakwaan hendak dilakukan atau sebaliknya, ia adalah kuasa Peguam Negara. Oleh kerana Apandi Ali dilantik secara mengejut menggantikan Gani Patail, penutup skripnya tidaklah begitu sukar untuk dijangka.

Tetapi yang lebih memeranjatkan ialah apabila Peguam Negara turut memaklumkan bahawa selain tiada kes yang boleh dikaitkan dengan Najib berkaitan wang tersebut, beliau  juga dimaklumkan sudah memulangkan kembali RM2,030 juta daripada RM2,600 juta yang diterimanya kepada keluarga penderma daripada Timur Tengah tersebut.

Kata Peguam Negara,  wang itu dipulangkan oleh Najib kepada penderma kerana ia tidak lagi diguna pakai.

Oh oh oh...baiknya hati Perdana Menteri kita ini. Oleh kerana tidak diguna pakai, wang derma itu dipulangkan kembali. Jumlahnya pula bukan seratus dua, tapi ribu-ribu juta.

Memang zuhud dan tidak gelap mata dengan dunia rupanya pemimpin kita ini. Mungkin Najib satu-satunya pemimpin yang pernah memulangkan kembali wang derma yang diterimanya dalam jumlah ribu-ribu juta nilainya.

Barangkali di dalam dunia juga hanya ada seorang manusia yang memiliki hati sesuci dan sebersih Najib ini. Sebelum Najib, rasanya tidak ada yang memiliki hati seperti itu dan diharapkan dengan contoh teladan yang ditunjukkan ini lebih ramai lagi yang akan menuruti jejak langkahnya itu, terutama isteri dan anak-anaknya.

Di sebalik Peguam Negara telah membersihkan Najib menjadi bersih sebersih-bersihnya umpama kain putih atau seperti bayi yang baru lahir, beliau juga menzahirkan bahawa Najib adalah pemimpin yang begitu mulia hatinya sehingga sanggup memulangkan kembali wang derma yang diterimanya.

Peguam Negara, Apandi Ali hari ini membersihkan nama Najib daripada sebarang kesalahan jenayah berkaitan penerimaan wang ke dalam akaun peribadinya itu atas alasan "tidak cukup bukti" untuk mengaitkannya dengan tiga kertas siasatan yang dihantar oleh SPRM itu.
 
 
 
 
 
Serentak dengan itu, Apandi juga mengarahkan SPRM menutup terus kes itu.

Tiadalah lagi apa-apa yang boleh dibangkitkan mengenai derma RM2,600 juta dan dana RM42 juta itu walaupun hakikatnya SPRM telah menghantar tiga kertas siasatan mengenainya.

Dalam hal ini, biasanya orang yang menderma tidak mengharapkan lagi wang yang didermanya dikembalikan kerana selepas menderma, yang diharapkan selepas itu hanyalah pahala saja.

Apatah lagi digembar-gemburkan kononnya derma itu untuk memerangi keganasan, menegakkan fahaman Ali Sunnah Wal Jamaah, menentang DAP dan kerana ingin UMNO terus berkuasa di negara ini.

Ehhh...kenapa dipulangkan pula? Sudah tamatkah agenda memerangi keganasan, menegakkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, menentang DAP dan memperkukuh UMNO supaya terus berkuasa?

Walaupun tidak diminta, Najib rupa-rupanya dengan rela hati memulangkan wang besar itu semata-mata kerana ia tidak digunapakai lagi.

Perghhh...mulia dan suci murni sungguh hati Najib rupanya!

Ada sesiapa nak percaya?

Hehehe....Lawak betul dan sehingga pilihanraya 2018 nampaknya kita tidak perlu lagi menonton sebarang hiburan televisyen untuk ketawa dan menghiburkan hati. Lawak ini saja sudah memadai membuatkan kita ketawa sepanjang masa


3 ulasan:

Unknown berkata...

Kenapa lah Ada juga peguam macam ni?tak takut ke masa akhirat?

Unknown berkata...

Ya Allah... kau tunjukkanlah dimata kami yang benar itu benar dan yang salah itu salah...walau bagaimana cara waktu dan saatnya...perancang kau yang terbaik

77777 berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.