KUALA LUMPUR,  MIC meluahkan rasa kesal mereka berhubung keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini membabitkan kes pertikaian hak penjagaan anak Indira Gandhi.


Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam, berkata keputusan itu sekali lagi membuka semula kotak Pandora mengenai kelemahan ibu bapa bukan beragama Islam dalam kes ini.

“Ia menunjukkan bagaimana mereka yang bukan Islam tidak dapat melindungi status agama anak mereka dalam kes penukaran unilateral kanak-kanak oleh pasangan lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata peruntukan perlembagaan berkaitan dengan isu ini, telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam pelbagai peringkat Kerajaan termasuk Jemaah Menteri pada tahun 2009.

“Ada cubaan untuk meminda Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 bagi membantu menyelesaikan sebahagian daripada isu ini. Malangnya, ada halangan dalam usaha itu.

“Perdana Menteri sudah banyak kali menyatakan bahawa isu ini sepatutnya diselesaikan dengan mempertimbangkan hak ibu bapa yang tidak memeluk Islam dan juga ibu bapa yang beragama Islam.

“Beliau pernah meminta agensi berkaitan untuk mengemukakan penyelesaian berkesan bagi menamatkan masalah ini. Malangnya, isu ini kekal tidak selesai.”

Subra menyatakan bahawa hak bagi ibu yang tidak memeluk Islam dalam menentukan agama anak kecilnya masih kekal terdedah tanpa bukti perlindungan dalam sistem penghakiman di negara ini, seperti yang ditunjukkan oleh keputusan baru-baru ini.

“MIC sangat kecewa dengan situasi semasa dan tetap komited dalam mencari penyelesaian efektif dan pantas dalam masalah ini menerusi Kabinet dan pejabat Perdana Menteri.”

Pada masa sama, Wanita MIC membuka laman Facebook yang memberi tekanan bagi mendapatkan keadilan dalam kes Indira Gandhi.

Ia dibuka bagi memperjuangkan hak kanak-kanak berkaitan kes penukaran agama bagi mendapatkan tekanan perundangan.