Sabtu, 16 Januari 2016

MIC harap k'jaan S'gor lulus projek pelancongan di Batu Caves

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan negeri Selangor diharap dapat membantu sektor pelancongan di negeri itu dengan memberikan kelulusan untuk projek pembangunan di kawasan kuil di Batu Caves, yang tergendala sejak beberapa tahun lepas.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata dua projek utama yang tergendala itu ialah pembinaan pusat kebudayaan India di Batu Caves dan projek pembinaan kereta kabel sepanjang 250 meter.

Kerajaan pusat telah meluluskan RM2 juta untuk pembinaan pusat itu pada 2012 tetapi projek itu sehingga kini tidak mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Perayaan Ponggal di Perkarangan Kuil Sri Subramaniam di Batu Caves malam tadi.

Manakala MPS difahamkan menghentikan kerja pembinaan projek kereta kabel itu pada 6 Jun 2014 berikutan beberapa struktur pembinaan di sekitar Batu Caves dikatakan dibina tanpa kelulusan kebenaran merancang.

"Kalau kerajaan negeri yang tidak memberi kelulusan maka ia bererti mereka menghalang pembangunan sektor pelancongan di negeri Selangor," dakwa beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas permintaan Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam Batu Caves, Tan Sri R Nadarajah yang meminta MIC untuk membantu menyelesaikan isu projek tergendala itu.

Sementara itu, sambutan perayaan Ponggal di perkarangan Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves berlangsung penuh meriah dengan kehadiran kira-kira 1,000 penganut dan pelancong.

Memasak Nasi Ponggal (Nasi Manis) dalam tiga belanga tanah liat besar antara aktiviti yang menarik perhatian para tetamu termasuk pelancong asing dalam majlis yang dikenali sebagai Mupperum Villa itu.

Presiden MIC turut mengambil bahagian dalam aktiviti memasak Nasi Ponggal dengan menuang susu ke dalam ketiga-tiga belanga tanah liat bersama isterinya Datin Seri Uma Rani Subramaniam.

Dr Subramanim berkata Ponggal juga perayaan yang diraikan khusus kepada alam semulajadi termasuk kepada matahari dan sebagai tanda kesyukuran kepada makanan yang diperolehi.

Tarian tradisional dan kebudayaan masyarakat India juga memeriahkan lagi majlis perayaan tersebut.

Ponggal yang diraikan semalam komuniti Tamil adalah perayaan yang disambut pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil yang dikenali sebagai Thai Matham bersempena dengan bulan menuai hasil tanaman di India.- Bernama

Tiada ulasan: