Selasa, 5 Januari 2016

Malim gunung penyelamat pendaki Gunung Kinabalu

SINAR HARIAN


Malim gunung
Lalauan baharu menggunakan tangga kayu yang lebih selesa dibina bagi keselesaan pendaki menawan Gunung Kinabalu selepas tragedi gempa bumi di gunung ini. - Foto Bernama
 
 
KUNDASANG (Sabah) - Kegembiraan ketika menjejakan kaki di puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara, Gunung  Kinabalu pada jam 7.15 pagi 1 Disember, 2015 memang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Apatah lagi apabila menjadi kumpulan pendaki pertama menawan puncak itu selepas aktiviti pendakian ditutup ekoran gempa bumi pada Jun 2015.

Sementara menanti giliran mengambil gambar untuk mengabadikan kenangan di puncak Kinabalu yang sentiasa menjadi kebanggaan rakyat Negeri di Bawah Bayu ini, penulis bersama pengamal media lain turut menikmati pemandangan waktu pagi yang begitu mengasyikkan.

Cahaya matahari pagi ketika di puncak setinggi 4,095 meter cerah menyinar, jelas menampakkan hamparan wajah Kinabalu selain kelihatan kumpulan awan putih di hadapan seperti berada dekat dengan kami.

Kerlipan lampu dari kawasan rumah penduduk di sekitar Ranau juga sudah tidak kelihatan seperti diawal pendakian.

Namun bahang matahari itu tidak mampu memanaskan badan pendaki kerana suhu rendah di puncak apatah lagi dengan tiupan angin gunung menyambut mesra tetamu yang bertandang.

Tetapi selepas hampir 20 minit berada di puncak gunung dan berjaya merakamkan gambar dengan bantuan malim gunung yang sentiasa setia bersama, penulis merasai kelainan pada diri. Penulis terasa mual dan pening, serta semakin tidak bermaya.

Bantuan diberikan

Namun seorang pendaki yang memperkenalkan dirinya sebagai doktor sempat memberikan ubat biji acetozalamide untuk menghilangkan rasa muntah dan menasihatkan supaya saya segera turun ke bawah.

Beliau sebenarnya adalah Dr Na'im Ab Razak, iaitu Pegawai Perubatan Kecemasan dan Trauma Hospital Lahad Datu.

Setelah sampai di pondok Sayat-Sayat, Dr Na'im terpaksa dipanggil semula.   

Beliau pada ketika itu juga sedang memberi bantuan kepada salah seorang pengamal media yang mengalami kecederaan pada kakinya namun segera datang memberikan bantuan apabila dimaklumkan oleh malim gunung mengenai keadaan saya.

Dalam temubual singkat dengannya, Dr Naim mengesahkan bahawa penulis mengalami 'Acute Mountain Sickness'(AMS) dan untuk mengurangkan simptom itu beliau memberikan dua suntikan steroid untuk menahan kesakitan serta  muntah.

Namun disebabkan ia berpunca daripada faktor altitud (ketinggian), Dr Na'im menasihatkan penulis supaya segera dibawa turun ke Panalaban kerana rawatan yang terbaik bagi AMS adalah turun segera ke altitud rendah.

"Kita kena bawa dia turun secepat mungkin sebab takut nanti keadaan makin bertambah buruk," kata beliau kepada malim gunung yang berada di situ.

Simptom AMS

AMS adalah suatu penyakit altitud apabila berada pada ketinggian 2,000 meter dan ke atas.

"Faktor utama berlaku penyakit altitud adalah kerana kekurangan oksigen dan tekanan udara rendah sewaktu berada di altitud tinggi. Ia ditambah lagi dengan keadaan puncak gunung yang sejuk, kurang kelembapan udara, lebih tinggi jumlah kadar radiasi ultraviolet yang terdedah pada badan dan juga riwayat penyakit pendaki itu sendiri seperti mempunyai masalah asthma, masalah paru-paru dan pernah terkena penyakit altitud pada siri pendakian yang lepas," katanya.

Selepas diberikan dua suntikan keadaan penulis tidak berubah dan keputusan perlu dibuat bagaimana untuk membawa turun penulis dengan segera.

Ketika itu butir-butir perbincangan jelas kedengaran di kalangan beberapa malim gunung walaupun sukar difahami kerana mereka menggunakan bahasa Dusun iaitu bahasa tempatan yang menjadi perantaraan di kalangan malim gunung.

Perhubungan melalui 'walkie-talkie' juga dibuat bagi mendapatkan bantuan Pegawai Bomba Bantuan Mencari dan Penyelamat di Gunung (PBB MoSAR).

Namun disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan untuk menunggu bantuan PBB MoSAR tiba, sekumpulan malim yang berada di pondok Sayat-Sayat pada waktu itu sepakat untuk membawa penulis turun ke bawah sebelum bertemu dengan PBB MoSAR dalam perjalanan.

Laluan sukar

Tanpa membuang masa dengan hanya menggunakan kudrat empat kerat dan sebuah beg sandang kecil, malim gunung Gregory Juanis mengambil risiko menggendong penulis melalui laluan curam dan berbahaya.

Ketika itu, sememangnya sudah tidak ada pilihan lain untuk turun ke bawah melainkan menggunakan kudrat malim gunung.

Dalam keadaan badan yang semakin lemah pastinya berat yang terpaksa dipikul oleh malim itu bertambah sekali ganda dan untuk memberikan sedikit tenaga, Dr Na'im memasang drip cecair glukosa melalui jarum yang disuntik pada lengan.

Amat di luar jangkaan fikiran apabila terpaksa menggunakan tongkat untuk meletakkan botol cecair glukosa itu supaya sentiasa berada dalam kedudukan lebih tinggi daripada lengan bagi memudahkan ia mengalir.

Masih terbayang dalam ingatan pada ketika itu, hanya hati yang dapat berkata-kata memohon diberi perlindungan kerana apabila melihat laluan yang curam dari aras yang tinggi itu, sememangnya bukanlah suatu pemandangan yang menyenangkan.

Apatah lagi malim itu juga perlu mengimbangkan badan dan pada masa sama perlu berpaut pada tali untuk menuruni cerun batuan yang curam.

Semangat waja malim

"Jangan takut, kami sudah dilatih ini...pejam mata dan jangan tengok bawah," itulah antara kata-kata semangat malim gunung berikan kepada saya ketika itu sambil berjalan menuruni cerun.

Namun dalam keadaan genting itu keberanian dan kecekapan malim gunung bersama pihak Taman-Taman Sabah dalam menangani situasi kecemasan amat jelas.

Sepanjang dibawa turun di laluan baharu itu, kedengaran suara-suara para malim gunung yang lain memberi bantuan berupa arahan kepada malim yang menggendong penulis ketika itu.

Semasa dalam perjalanan turun itu, tiub pada lengan penulis mengeluarkan darah dan malim terpaksa berhenti.  Dengan berhati-hati, malim meletakkan penulis duduk di batuan yang tinggi sambil dibantu oleh para malim lain yang turut berada bersama-sama waktu itu.

Selepas kedudukan tiub itu dibetulkan, darah berjaya dihentikan keluar dan tugas membawa penulis turun bertukar tangan.

Ada ketikanya malim itu hanya menggunakan sebelah tangan sahaja memegang tali ketika menuruni cerun yang curam dan pada saat itu perasaan takut tidak dapat digambarkan kerana sekiranya terjadi sebarang kemungkinan, pastinya kebarangkalian untuk selamat adalah amat tipis.

Sesekali mata melihat laluan yang dilalui pada awal pagi tadi yang tidak kelihatan, kini ia jelas menampakkan keadaannya yang curam dan berliku.

Keyakinan diri penulis akan terselamat bertambah apabila malim gunung yang membawa penulis turun bertemu dengan pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (PBB MoSAR).- Bernama


2 ulasan:

Unknown berkata...

Mengembalikan kenangan indahku menakluki Kinabalu 1992.. yaa.. sangat indah..

Unknown berkata...

Mengembalikan kenangan indahku menakluki Kinabalu 1992.. yaa.. sangat indah..