Khamis, 7 Januari 2016

Majlis Fatwa Perlu Halang Kerajaan Menandatangani TPPA



Oleh Mahfuz Omar

1. Majlis Fatwa Kebangsaan perlu tampil menyatakan pendirian dalam isu TPPA. Majlis Fatwa perlu mengadakan muzakarah dan menyatakan pendirian tegas dalam isu TPPA yang sedang hangat diperkatakan menjelang perbahasan di Parlimen dan ditandatangani oleh kerajaan Umno Bn untuk menjual Malaysia pada penjajahan baru kuasa besar Amerika.

Kalau sebelum merdeka para Ulamak bangun memimpin rakyat menentang penjajahan British ke atas Malaya pada waktu itu, kini menjadi tanggungjawab Majlis Fatwa Kebangsaan bangkit untuk bersama rakyat menghalang penjajahan baru hasil persekongkolan kerajaan Umno Bn menjual Malaysia.

2. Kalau dalam isu Vape yang dianggap oleh Majlis Fatwa haram kerana merbahaya, memudharatkan kesihatan dan membazir maka sudah tentu dalam hal TPPA lebih merbahaya kepada masa depan Islam dan kedaulatan negara serta mengancam persaingan ekonomi rakyat Malaysia.

3. Majlis fatwa perlu mengharamkan perjanjian ini (TPPA) yang jelas akan memudharatkan kesihatan kehidupan agama dan budaya, ekonomi serta kedaulatan negara Malaysia tercinta. Jangan biarkan kerajaan Malaysia melakukan perkara yang menjahanamkan masa depan generasi akan datang. Jangan biarkan Kerajaan Umno Bn menyerahkan negara Malaysia tercinta pada perompak dan penjenayah antarabangsa yang akan merompak masa depan generasi Malaysia.

4. Umat Islam dan rakyat Malaysia menanti fatwa pengharaman TPPA daripada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menghalang kerajaan Umno Bn menanda tangani perjanjian (TPPA) tersebut demi mempertahankan Kedaulatan Malaysia tercinta.

‪#‎BANTAH‬ TPPA :
JANGAN JUAL MALAYSIA.

(*)  DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR ,Ahli Parlimen Pokok Sena

Tiada ulasan: