Rabu, 27 Januari 2016

Mahasiswa gesa bebaskan TH dari cengkaman politik



Oleh Muhammad Wafiuddin Rosli
 
 
Sebelum ini, TH telah mencetuskan kontroversi apabila membeli tanah 0.64 ha di Tun Razak Exchange (TRX) berharga RM188 juta daripada 1MDB.
 
 
 
Abdul-Azeez_tabung-haji_600


Pelantikan Ahli Parlimen Baling daripada Umno-BN, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) pada 1 Julai 2013 yang lalu telah membuktikan pada hari ini bahawa pelantikan ini pada asasnya tidak menguntungkan rakyat bahkan merosakkan imej Institusi Agama di Malaysia.

TH adalah organisasi yang menguruskan urusan haji umat Islam di negara ini. Di tangan organisasi inilah amanah dan kepercayaan umat Islam seluruh negara diletakkan. Ia adalah tabungan jutaan umat Islam yang menguruskan urusan haji berpuluh ribu umat Islam setiap tahun. Sepatutnya pelantikan bagi ketua institusi agama ini perlu diteliti dengan rapinya supaya ia mengikut garis panduan tertentu berdasarkan keupayaan, kredibiliti dan tidak partisan yang menyebelahi Umno-BN yang bersifat berat sebelah dan mempunyai kepentingan politik.

Hari ini, sekali lagi berlaku kekecohan berkenaan isu yang membabitkan Institusi Islam TH itu sendiri apabila Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Gabenornya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengatakan nilai aset TH hanya mencukupi membayar tidak lebih daripada 98 sen bagi setiap seringgit nilai liabiliti dan memberi amaran ia boleh memberi kesan kewangan kepada kerajaan dalam surat peringatan 23 Disember yang lalu.

Sebelum ini, TH telah mencetuskan kontroversi apabila membeli tanah 0.64 ha di Tun Razak Exchange (TRX) berharga RM188 juta daripada 1Malaysia Development (1MDB) untuk membangunkan sebuah menara kediaman. TH dilaporkan membayar 43 kali ganda lebih tinggi daripada yang dibeli 1MDB daripada Putrajaya 5 tahun lalu. Disebabkan tekanan oleh pelbagai pihak, TH mengambil keputusan untuk menjual tanah tersebut namun tiada sebarang perkembangan mengenai dilaporkan.

Terbaru, lantikan Peguam Negara sebagai ahli Lembaga Pengarah TH juga telah menimbulkan pelbagai persepsi negatif di mata rakyat. Persepsi yang berlegar diruang media sosial mahupun ‘bicara kedai kopi’ mengatakan lantikan ini mempunyai konflik berkepentingan. Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang hari ini telah membuat kenyataan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan kesalahan dalam skandal derma RM2.6 bilion atas alasan sejumlah RM2.03 bilion sudah dipulangkan kepada keluarga diraja Arab Saudi pada 2013.

Dalam isu ini, jika tidak diatasi segera ia mampu menjadi fitnah kpd Institusi Agama di Malaysia pada keseluruhanya. Rentetan ini telahpun bermula dari agihan zakat, yayasan dan kini Tabung Haji yang amat kita banggakan. Rakyat Malaysia khususnya para pendeposit TH perlu bersama-sama mahasiswa bangun untuk membantah penglibatan ahli-ahli politik dalam Institusi Agama ini.

Saya mencadangkan kepada pihak kerajaan dengan segera melantik organisasi TH yang baru bagi menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memperjuangkan kepentingan Islam di Malaysia. Adalah lebih baik, jika lantikan ini melibatkan golongan profesional yang bebas daripada cengkaman politik kepartian iaitu ahli ekonomi, para pensyarah berkelayakan dan tokoh korporat yang berwibawa demi kelangsungan Institusi Agama di Malaysia.

(*)  Muhammad Wafiuddin bin Rosli merupakan presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM

1 ulasan:

77777 berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.