Rabu, 6 Januari 2016

MAB tidak perlu haramkan alkohol – Wan Ji

 
Namun jangan halang hak mana-mana penganut mengamalkan agama masing-masing


Ustaz Wan Ji


PETALING JAYA: Malaysia Airlines Berhad (MAB) tidak perlu menghentikan penyajian alkohol di dalam pesawat, tetapi disaran supaya mencari penyelesaian kreatif dalam menangani sensitiviti agama, kata penceramah Wan Ji Wan Hussin.

Dihubungi FMT untuk mengulas cadangan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin supaya MAB memberi pilihan kepada pramugari yang mahu berhijab dan menolak menghidang alkohol, Wan Ji berkata beliau bersetuju dengan cadangan itu.

Namun begitu, ini tidak bermakna alkohol di dalam pesawat perlu diharamkan.

“Dosa bagi orang Islam menghidangkan alkohol, maka sebab itulah pramugari beragama Islam perlu diberi pilihan untuk tidak menghidang alkohol.

“Bagi saya, memberi pilihan kepada pramugari untuk berhijab dan menolak menghidang alkohol bukanlah hal yang besar,” kata Wan Ji.

Dalam pada itu, Wan Ji berkata MAB haruslah peka akan keperluan agama yang dianuti kakitangan mereka.

Sebagai contoh, katanya, sekiranya agama tertentu melarang penganutnya memakan daging tertentu atau semua jenis daging, maka pihak syarikat wajar menyediakan beberapa pilihan untuk penumpang yang berkenaan.

Awal hari ini, The Star Online melaporkan Asri sebagai berkata cadangannya itu haruslah dilihat dari sudut pandang hak asasi manusia.

Asri berkata orang Islam perlu diberi ruang untuk mengamalkan agama mereka, begitu juga ruang untuk orang bukan Islam mengamalkan agama mereka.

Mufti Perlis itu menekankan bahawa beliau bukan mencadangkan pihak syarikat supaya mengenakan syarat hijab keatas semua kakitangan mereka dan beliau sekadar bercakap mengenai hak kakitangan beragama Islam yang mahu berhijab.

Dalam kes penyajian alkohol di dalam pesawat, Asri sebelum ini dilaporkan berkata ia tidak elok dan mempertikaikan keperluan menyajikan alkohol. Beliau juga berhujah banyak syarikat penerbangan lain tidak menyajikan alkohol.

Tiada ulasan: