Rabu, 6 Januari 2016

Lim Kit Siang dinasihat bertaubat

 
Beliau diminta supaya berhenti melibatkan ahli UMNO dalam usahanya untuk menumbangkan kerajaan BN


Bung Moktar Radin


PETALING JAYA: Penasihat DAP, Lim Kit Siang digesa supaya bertaubat dan berhenti daripada mempengaruhi ahli UMNO untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Gesaan itu dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Moktar Radin susulan kenyataan Kit Siang bahawa DAP bersedia berjasama dengan mana-mana pemimpin parti Melayu itu yang tidak sehaluan dengan Perdana Menteri.

Katanya, apa yang dilakukan pemimpin veteran DAP itu dianggap sebagai satu usaha terdesak untuk berkuasa.

“Saya syorkan Lim Kit Siang bertaubat dan berhenti melibatkan ahli-ahli UMNO dalam cubaannya untuk menumbangkan kerajaan BN.

“Lim Kit Siang masih berpolitik atas dasar kekecewaan, tidak cukup dengan pelbagai fitnah terhadap Perdana Menteri, BN dan UMNO, kini, Lim Kit Siang masih terus terdesak dengan menggesa ahli UMNO seramai tiga juta orang menolak kepimpinan Datuk Seri Najib dengan pelbagai alasan yang diputar belit,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, DAP bukanlah sebuah parti yang berjasa kepada negara sebaliknya, membawa perjuangan untuk memecah-belahkan pemikiran rakyat.

Sehubungan itu, beliau yakin usaha yang dilakukan Kit Siang untuk mempengaruhi ahli UMNO hanyalah satu angan-angan ekoran ahli parti Melayu itu tidak mudah terpengaruh dengan desakan daripada mana-mana pihak.

“Ahli UMNO bukan budak kecil yang boleh diperkotak katikkan pemikiran mereka seperti yang dijangkakan Lim Kit Siang,” ujarnya.

Tiada ulasan: