Selasa, 5 Januari 2016

Jangan beri muka lagi



Oleh Zulkifli Jalil


Sudah sampai masanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tegas.Jangan beri muka lagi.Dalam 3 atau 4 kali setiap tahun pasti akan ada dakwaan palsu berlegar dalam laman sosial berkaitan “kes culik palsu” ini.


Skripnya sama. “Saya ditarik masuk ke dalam van putih. Di dalam van itu saya nampak beberapa gadis lagi senasib saya... tolong saya...(talian terputus).”

Tahun lepas lagi teruk viralnya sehinggakan Polis Selangor terpaksa menafikan khabar angin kononnya van putih menggunakan plat negara jiran sedang berkeliaran dan menculik kanak-kanak sebagai mangsa organ terutama di daerah Sabak Bernam.

Membuat dakwaan palsu gadis remaja yang rosak akhlaknya ini perkara serius. Ia menimbulkan suasana panik, gusar dan kemarahan dalam kalangan rakyat negara ini terhadap keselamatan anak.

Justeru, gadis seperti Nur Amirah Atirah Abdul Majid selain teman lelakinya, yang sengaja bikin gamat seluruh negara baru-baru ini apabila mendakwa diculik, harus dihadapkan ke muka pengadilan.

Kalau tidak dihadapkan ke mahkamah kerana faktor bawah umur, Nur Amirah Atirah harus dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak.

Kita tidak mahu lagi “berita penculikan sampah” begini berleluasa.

Kalau memang sudah ada prosedur undang-undang menangani kes pembohongan ini, polis memasuki tahun baharu 2016 ini, perlu beri pelajaran kepada remaja. Mungkin hantar pegawainya ke sekolah untuk mengingatkan golongan pelajar natijah perbuatan ini.

Nur Amirah Atirah tentu ingat kisah budak gembala kambing dengan harimau.

Pada suatu hari, semasa dia menjaga kambingnya, dia terfikir hendak mempermainkan orang kampung kerana bosan menjaga kambing kepunyaan bapanya.

Budak itu menjerit meminta tolong.Tolong, tolong! Ada harimau yang makan kambing saya.

Tetapi apabila orang kampung yang bersenjatakan lembing dan parang berlari mendapatkannya, budak gembala itu tertawa terbahak-bahak. Ha…ha…ha…kamu semua tertipu.

Namun beberapa hari kemudian, memang benar dia didatangi 2 harimau. Budak itu menjerit meminta tolong.

“Saya tidak berbohong. Harimau benar-benar datang!” jeritnya lagi tetapi tiada seorang pun yang datang membantunya. Akhirnya, bukan saja kambing dibaham, dia sendiri mati diterkam.

Kes lari bersama teman lelaki sering berlaku dalam kalangan golongan remaja berusia 12 hingga 15 tahun.
Statistik polis 2015 mendedahkan 2,540 lari bersama teman lelaki; 1,857 terpengaruh dengan rakan; 1,592 lari kerana masalah keluarga dan 1,371 lari kerana mahukan kebebasan.

Daripada jumlah itu, remaja Melayu paling ramai terlibat iaitu sebanyak 10,489 kes berbanding bangsa lain. – utusan.com.my

Tiada ulasan: