Ahad, 3 Januari 2016

Isu pemuas nafsu: Puteri ancam lapor polis

MALAYSIAKINI





Puteri Umno tidak akan teragak-agak membuat laporan polis jika isu kononnya ada ahli Puteri Umno dijadikan tempat pemuas nafsu pemimpin terus dimainkan.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (gambar) berkata sebelum ini, pihaknya hanya berdiam diri dalam hal itu, namun beliau akan terus bertindak selepas ini, lapor Sinar Harian.

"Ada pihak yang bermain dengan isu ini ataupun cuba membuat fitnah kita tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis.

"Sebelum ini ada pihak yang menyuruh kita buat laporan polis, tapi kita hold dulu sebab kita tidak mahu panjangkan perkara ini, sebab yang membaca blog itu tidak ramai tetapi apabila benda ini menjadi sensasi maka kita harus bertindak," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Baru-baru ini, di laman media sosial serta beberapa portal memainkan semula isu lama yang mengaitkan Puteri Umno yang dijadikan pemuas nafsu pemimpin.

Terdapat juga dakwaan mengatakan ada ahli Puteri Umno digunakan untuk menawarkan penajaan ke atas sesuatu pertandingan atau jawatan dalam parti.

Terdahulu bekas exco Puteri Umno Ismalina Ismail menafikan membuat kenyataan tersebut malah mendakwa perkara itu fitnah yang timbul semasa pilihan raya kecil dahulu dan dipanaskan semula dengan agenda memburuk-burukkan Umno.

"Apa yang telah disebarkan adalah berita kitar semula. Asasnya saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan atau komen berhubung isu berkenaan.

"Jadi saya pun tidak tahu dari mana datangnya dan timbulnya isu ini. Saya tidak pernah membuat kenyataan sebegitu. Sebenarnya fitnah ini telah direka semasa pilihan raya kecil beberapa tahun yang lalu.

"Saya kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak-pihak yang menyebarkan semula posting ini bagi memecahbelahkan silaturahim antara sesama ahli Umno," kata Ismalina.


Tiada ulasan: