KUALA LUMPUR,  “Cadangan untuk meletakkan calon Melayu DAP atas ticket PKR atau Amanah adalah sesuatu yang DAPSY tidak akan bersetuju.”

Itu reaksi Setiausaha Eksekutif Publisiti Pemuda Sosialis DAP, Muhammad Shakir Ameer berhubung cadangan daripada Timbalan Ketua Amanah Johor, Zulkefly Ahmad bahawa DAP tidak payah meletakkan calon Melayu Islam bagi DUN Johor pada pilihan raya akan datang.

Muhammad Shakir berkata keputusan berkaitan dengan percalonan pilihan raya adalah ketetapan pimpinan DAP yang tidak akan berdasarkan bangsa atau agama tetapi berdasarkan kualiti calon dan strategi masing-masing.

Malah katanya, DAP akan sentiasa mengekalkan prinsip perjuangan di samping mengubah persepsi negatif terutamanya oleh golongan pengundi Melayu.

“Sebagai sahabat perjuangan dalam Pakatan Harapan, kami ingin menasihati Zulkifly agar jangan terjerat dengan permainan politik perkauman dan agama seperti  yang dimainkan oleh Pas dan Umno.

“Politik agama dan perkauman masih menjadi kelemahan politik negara kerana mudah dimanipulasi oleh media pro-UMNO dan konco-konconya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Shakir, DAP biasanya ‘dikambinghitamkan’ kerana prinsip DAP yang mengutamakan kebebasan, hak saksama, keadilan sosial dan solidariti telah mencabar dominasi politik kaum dan agama yang dikuasai Umno-Barisan Nasional.

“Kami juga ingin menasihati Zulkifly bahawa politik agama yang disalahgunakan oleh pimpinan Pas mengakibatkan penubuhan Parti Amanah.

“DAPSY berharap agar persefahaman dan kerjasama politik bersama komponen Pakatan Harapan harus dianggap sebagai permulaan baru untuk mengubah politik tanahair yang berdasarkan persefahaman politik yang matang demi kebaikan rakyat Malaysia,” katanya.