Rabu, 6 Januari 2016

ISLAM DIJUAL DI MANA-MANA?

shahbudindotcom





Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mendakwa konsep patuh syariah yang diperkenalkan oleh syarikat penerbangan baru, Rayani Air, hanyalah untuk mendapat keuntungan dengan menggunakan nama Islam.

"Kita dapati pemiliknya bukan Islam. Jadi, orang bukan Islam yang patuh kepada ajaran Islam ada juga. Dia dapat keuntungan daripada agama Islam. 

"Sekarang ini macam-macam benda orang cari keuntungan daripada apa yang ditafsir sebagai kehendak Islam," kata Tun Mahathir.

Apa yang boleh kita fahami daripada logik kenyataan beliau kali ini? 

Walaupun menyebut Rayani Air sebagai subjeknya, tetapi dapat diterobos bahawa Tun Mahathir sedang membuka lorong fikiran kita untuk menilai apa yang berlaku sehari dua ini dalam negara.

Tun Mahathir tidak lain mengajak kita berfikir dengan mendalam dan tidak mudah sentimental serta "tangkap leleh"  apabila sesuatu dihidangkan atas nama agama di depan mata kita.

Janganlah apabila atas nama Islam saja semuanya  dikira borong sebagai perkara yang total baik dan tidak boleh dipersoalkan. Sesuatu perkara yang berlaku itu harus diteliti secara mendalam dan menyeluruh sebelum mahu menerimanya sama ada baik atau sebaliknya.

Makanya,  secara tidak langsung logik yang sama mengajak kita agar jangan juga mudah tersentuh dengan umrah, jubah, gambar di depan Kaabah dan berdoa di Raudah dengan seolah-olah dosa-dosa semalam "seseorang" itu sudah boleh dianggap sebagai kebaikan.

Sementara agama sentiasa menjadi alat paling mudah mengaburi pandangan, kita sebagai manusia yang ada akal fikiran  jangan sesekali terlalu mudah hilang pertimbangan hanya kerana dek luaran yang sesekali ditonjolkan.

Jika ramai yang terleka atau selagi masih ada yang terlena dengannya, selama itulah agama akan jadi komoditi untuk dijual beli bagi mencari keuntungan wang dan mengekalkan jawatan.


Tiada ulasan: