Rabu, 27 Januari 2016

Hari yang pelik



Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man


Baru 10 hari lalu Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memulangkan kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan siasatan yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam skandal derma RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd.

Pelik #1: Apakah penambahbaikan atau penemuan baharu dalam kertas siasatan SPRM terbarunya kepada peguam negara sehingga beliau dapat bertindak seperti hakim negara membuat deklarasi untuk tidak mendakwa perdana menteri semalam, tetapi tidak 10 hari lalu?

Pelik #2: Peliknya, jika 10 hari lalu, SPRM mendapati perdana menteri tidak melakukan sebarang jenayah, mengapakah peguam negara tidak mengumumkan perdana menteri bersih ketika itu?


Sebaliknya, jika 10 hari lepas SPRM mendapati perdana menteri mungkin melakukan jenayah tetapi tiba-tiba menukar nada dalam laporan terbaru dan mendapati perdana menteri tidak bersalah, mengapa peguam negara tidak menghantar semula kertas siasatan kepada SPRM untuk mencari punca perbezaan hasil penyiasatan yang sebegitu ketara? Bukankah itu lagi pelik?

Peliknya, mengapa kertas siasatan membersihkan perdana menteri pula diterima bulat-bulat tanpa meminta siasatan lanjut dibuat?

Pelik #3: Peguam negara tidak menolak pelantikan sebagai pengarah Lembaga Tabung Haji yang boleh dipandang serong masyarakat. Ini pelik. Apakah beliau tidak sensitif mengenai pentingnya jawatan peguam negara dilihat bebas ataupun beliau pun tidak cukup makan sehingga perlukan #2kerja?

Pelik #4: Peguam negara menyatakan perdana menteri memulangkan RM2.03 bilion daripada RM2.6 bilion kepada pendermanya. Peliknya, peguam negara langsung tidak nyatakan dan mengambil kisah bagaimana RM570 juga dihabiskan perdana menteri. Apakah SPRM juga tidak menyentuh bab ini?

Pelik #5: Lembaga Tabung Haji semalam menegaskan ia tiada masalah kewangan. Malah, ia mengingatkan para pendeposit,  nilai aset Tabung Haji mestilah mengambil kira keseluruhan nilai saksama portfolio pelaburannya.

Ini adalah kerana nilai aset yang dinyatakan “tidak mengambil kira portfolio pelaburan seperti saham anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki Tabung Haji.”

Peliknya kita mengikut logik Tabung Haji. Bukankah Bank Negara Malaysia boleh dikira sebagai menyibuk dalam menghantar satu surat kepada penyimpan dana jemaah haji itu bagi menyatakan nilai asetnyalebih rendah daripada liabiliti jika Tabung Haji tidak mengalami masalah?

Pelik #6: Lagi pelik kalau pakar-pakar di dalam Bank Negara Malaysia terlupa mengambil kira “portfolio pelaburan seperti saham anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki Tabung Haji” ketika menghantar surat amaran sebegitu penting kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Jamil Khir dan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez dan “dicckan” kepada Datuk Seri Najib Razak serta Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Ismee Ismail? Atau sememangnya Bank Negara Malaysia sebegitu cuai?

Cuba bayangkan kalau Bank Negara Malaysia yang “cuai” terlupa hantar surat kepada Tabung Haji, apakah yang bakal terjadi ke duit pendeposit hari ini?

Apapun tahniah Tabung Haji kerana menurut Bank Negara ia sudah mengambil langkah pro-aktif bagi memperkukuh amalan pengurusan risiko untuk membolehkan ia mengekalkan kedudukan kewangan yang mampan dan sihat.

Sekadar mengenang hari yang pelik 26 Januari 2016.

1 ulasan:

77777 berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.