Sabtu, 16 Januari 2016

Datuk Vida cabar JDT lawan PQP TRW

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Penaja utama Pamoga Qu Puteh The Red Warrior (PQP TRW), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mencabar juara Piala AFC, Johor Darul Takzim (JDT) berentap dengan pasukannya secara persahabatan dalam masa terdekat.
 
Beliau yang dikenali sebagai Datuk Vida berkata, 'pelawaan' terhadap pasukan milik Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu adalah kerana merasakan ianya antara pasukan yang terkuat, justeru sekiranya pelawaan itu disambut, ia bakal menjadi pertemuan antara 'buku dan ruas'.
 
Ujarnya, perlawanan persahabatan itu sebolehnya diadakan sebelum bermulanya musim liga.
 
"Kita mahu permainan secara sihat. Mengapa JDT? Walaupun Selangor dan Pahang juga kuat, tetapi kita pilih antara dua terbaik dan saya anggap perlawanan JDT dan Kelantan seperti 'buku dengan ruas'," katanya dalam majlis menandatangani kontrak penajaan pasukan Liga Super Kelantan musim 2016 di Bangunan Mara, semalam.
 
Sementara itu Presiden Kelab Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan memaklumkan hasrat pengasas Vida Beauty itu kepada TMJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
 
Katanya, perlawanan persahabatan itu juga boleh diadakan sebagai perlawanan kebajikan 'charity', selain menghargai penyokong kedua-dua pasukan.
 
"Kalau perlawanan ini boleh meningkatkan perkara positif, bukan perasaan tak baik atau sebagainya, saya akan maklum kepada TMJ untuk sampaikan hasrat Datuk Seri tadi. 
 
"Mungkin tak mustahil sebelum permulaan musim, mungkin untuk hargai penyokong pasukan PQP TRW dan Harimau Selatan, mungkin elok pasukan ini bertemu dalam satu perlawanan, dan mungkin perlawanan kebajikan (charity).
 
"Kalau nampak macam ramai ( sambutan) mungkin kena pinjam stadium Bukit Jalil.. TMJ memang punyai sikap yang dinamik dalam soal kemajuan bola sepak  dan saya fikir baginda akan pertimbangkan," katanya.
 
Namun Annuar dalam sidang media berkata, pihaknya perlu menyelesaikan isu pemilihan pemain import terlebih dahulu yang masih dalam peringkat pertimbangan sebelum memulakan sebarang perlawanan.
 
Katanya, setakat ini tiga calon berada dalam senarai, iaitu daripada Morocco, pemain Liga Sepanyol, dan pemain Argentina.
 
"Kita kena segera selesaikan mengambil pemain import sebelum lawan JDT," katanya yang mengakui 'agak lambat' menyelesaikan isu pemilihan pemain import kerana enggan mengulangi kesilapan sama seperti musim lalu.
 
Dalam majlis itu, Datuk Vida dan Annuar menandatangani kontrak tajaan bernilai RM16 juta bagi dua musim, disaksikan barisan exco Kafa, pemain TRW yang memakai jersi baru berwarna merah jambu, serta penyokong.
 
 

Tiada ulasan: