Selasa, 5 Januari 2016

DAP yang patut beri laluan kepada PAN, bukannya PAS

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: ADUN Meru, Dr Abd Rani Osman berkata DAP yang sepatutnya memberikan laluan kuota ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada Parti Amanah Negara (PAN), dan bukannya PAS.
 
Wakil rakyat PAS itu berkata, ini kerana kedua-dua parti berkenaan merupakan rakan kerjasama politik dalam Pakatan Harapan (PH). 
 
"Kalau ikutkan pada kerjasama, DAP sepatutnya memberikan kuota mereka dan bukan PAS yang tak ada kena mengena dengan PAN.
 
"Itu baru dinamakan kerjasama sekiranya mereka memang benar-benar berada di dalam Pakatan Harapan,” katanya dipetik Sinar Harian.
 
Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, parti itu hanya akan memberi laluan kepada PAN sekiranya pimpinan tertinggi parti memutuskan sedemikian. 
 
"Saya sebagai ADUN dan beberapa kawan lain yang tak memegang jawatan dalam parti hanya akan menunggu keputusan daripada pucuk pimpinan parti.
 
"Kalau kata bagi laluan, maka kita akan bagi laluan. Tapi, kalau apa yang berlaku adalah sebaliknya, maka kita semua akan akur,” katanya.
 
Sementara itu ADUN Selat Klang, Dr Halimah Ali pula berkata, dia menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang enggan memberi laluan kuota kepada PAN.
 
Kata Halimah, perkiraan kerajaan negeri Selangor hanya melibatkan tiga parti  yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
 
"Yang relevan dalam pembentukan kerajaan negeri adalah parti-parti yang bertanding di dalam pilihan raya lalu sahaja," katanya.  
 
Semalam Iskandar yang juga Naib Presiden PAS berkata, PAS Pusat  memutuskan enggan memberi laluan kepada PAN dalam pembahagian kerusi ahli majlis di Selangor. 
 
Ujar Iskandar, beliau mendapat mandat untuk mewakili PAS Pusat sebagai Naib Presiden parti itu.
 
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula berkata, pihaknya perlu berlaku adil dalam pembahagian kerusi berkenaan selain menyatakan PAN perlu turut diberi ruang untuk menyumbang khidmat di peringkat PBT.
 
Katanya, pengumuman mengenai senarai ahli majlis yang baharu akan dibuat pada 16 Januari ini.
 
 

Tiada ulasan: