Selasa, 5 Januari 2016

Chegubard watak kecil dalam sandiwara politik PKR?

 Oleh Abdul Rahman Malik

 
Post Pic
 
 
[ULASAN] "Ramai pimpinan parti bersetuju dengan apa yang saya lakukan namun saya diperingatkan betapa ada usaha yang bersungguh mahu saya dipecat dari parti.
 
"Saya pernah ditunjukkan pintu keluar dihina dan dipijak dalam parti sendiri, saya difitnah (supaya) meninggalkan parti namun realitinya saya masih di sini.
 
“Saya sayangkan parti ini kerana inilah rumah perjuangan saya,” kata bekas Ketua Cabang PKR Rembau Pengasas Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.
 
Jika ada meter jangkasuhu ketelusan dalam PKR berhubung pentadbirannya di Selangor, sudah tentu ia adalah Chegubard yang tidak pernah sunyi mengkritik segala apa yang dilihatnya tidak kena dengan citra politik parti itu. 
 
Namun oleh kerana PKR cuma ada peluang untuk mentadbir sebuah negeri sahaja di Malaysia sasarannya tentulah tertumpu pada Selangor yang kini dipimpin oleh Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Azmin Ali.
 
Kritikan Chegubard ke atas pengurusan parti yang sekaligus membabitkan presiden PKR pula, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail boleh dikira bermusim. 
 
Lazimnya ini berlaku apabila ada proses pemilihan dalam parti sehingga Chegubard sendiri sering terpaksa “disenyapkan” daripada mengambil bahagian langsung dengan proses berkenaan.
 
Memang benar kata Chegubard bahawa rumah politiknya ialah PKR. Lantas beliau harus memelihara nama baik dan paling penting integriti serta maruah PKR supaya tidak dijadikan bahan senda gurau politik. 
 
Justeru apabila beliau menuduh Azmin Ali berbohong dalam pengurusan kerajaan negeri, Chegubard mahu masyarakat jelas bahawa beliau tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam isu yang dibangkitkannya. 
 
Mutakhir sekali ialah dakwaannya tiada proses tender terbuka yang dijalankan bagi memperolehi projek kawasan balak di Selangor tetapi dinafikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
Menurutnya, beliau mempunyai dokumen Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebagai bukti dua syarikat yang memperolehi anugerah kontrak bagi dua kawasan pembalakan itu bukan melalui proses yang telus.
 
"Di sini saya tegaskan Azmin menipu dalam kenyataan medianya apabila dia menyatakan syarikat yang memperolehi kawasan balak itu mendapatkannya melalui tender terbuka.
 
"Malah dia mencabar saya membuktikan bahawa dua syarikat dapat kawasan balak bukan melalui proses tender terbuka. 
 
"Jawapan saya mudah. Kalau ia tender terbuka mana iklan tendernya? Saya mahu sebut dengan jelas dalam tangan saya ada dokumen MMKN yang membuktikan tidak ada proses tender terbuka dijalankan," katanya dalam satu kenyataan.
 
Dalam laporan media rasmi kerajaan negeri, Selangorkini pada 17 Disember lalu, Azmin mendakwa setiap perolehan di Selangor dibuat secara tender terbuka sejak tahun 2008.
 
Namun Chegubard tetap bertegas pada prinsip perjuangannya.
 
"Saya ulang isu korupsi, pembaziran, penyelewengan dan salah atau lemah urus tadbir tidak kira dilakukan oleh regim Barisan Nasional atau pihak mana sekalipun yang mentadbir negara atau negeri harus ditegur dan dibongkarkan,"ujarnya.
 
Tambahnya, tindakan yang diambilnya bukan bertujuan mengambil alih kuasa tetapi untuk terus menjadikan PKR sebuah parti yang lebih baik.
 
Di segi hirakinya, kedudukan Chegubard adalah jauh lebih rendah untuk mencabar Wan Azizah atau Azmin. Namun beliau tetapi merupakan ikon yang melambangkan “suara hati” PKR.
 
Mungkin ada yang menganggap Chegubard seorang idealis. Beliau dituduh sebagai kurang faham realiti politik. Namun baginya beliau mahu tetap bernaung di rumah politik yang ada integriti. 
 
Sebelum ini beliau juga aktif menuntut penjelasan mengenai pelbagai isu membabitkan wibawa kerajaan negeri seperti dalam isu DEIG atau Darul Ehsan Investment Group yang didedahkan sebagai tidak patuh prosedur. 
 
Tindakannya itu mendorong Azmin untuk “senyapkan” isu berkenaan dengan hujah beliau bersedia membentangkan kertas putih mengenainya. 
 
Sekaligus ini merencatkan program menghimpun khazanah Selangor di bawah DEIG, sebuah syarikat sendirian berhad. 
 
Apapun Chegubard tetap seorang ahli politik. Beliau tidak pula, atau mungkin belum mahu menegur kisah pengwujudan dan aktiviti Institut Darul Ehsan atau IDE. 
 
Kebelakangan ini IDE menempa nama kerana mula mencampuri ehwal politik nasional dengan mengemukakan hasil kajiannya mengenai kerjasama PAS-Umno dan impaknya terhadap PKR secara tidak langsung. 
 

Timbalan Pengerusi IDE, Datuk Profesor Dr Redzuan Othman mendedahkan kerjasama PAS-Umno tidak akan membawa impak besar pada politik PKR kerana “ahli PAS tetap sokong  PAS dan ahli Umno tetap sokong Umno”.
 
Malah, sebaliknya beliau berkata, kesan terbesar mungkin menimpa PAS sendiri kerana ada 45 peratus ahli parti itu yang tidak setuju PAS bekerjasama dengan Umno. Paling buruk, katanya, PAS mungkin berpecah lagi.
 
Laporan ini secara langsung adalah propaganda PKR untuk mengukuhkan kedudukan rakan politiknya, PAN yang amat memerlukan publisiti untuk mengukuhkan kedudukan politiknya. 
 
Matlamat kajian itu agak jelas. Jika secara “akademiknya” PAS dianggap akan terus pecah dan lemah, sudah pasti kemungkinan rakyat menyokong PAN akan lebih tinggi. 
 
Setakat ini baik Chegubard mahupun pihak berkepentingan lain seperti PAS sendiri dan beberapa NGO lain masih bungkam terhadap aktiviti IDE ini. Yang nyata sejak ditubuhkan, IDE sibuk dengan program perkaderan politik untuk PKR.
 
Malah hampir semua penggerak IDE adalah aktivis PKR yang pernah melalui latihan Angkatan Belia Islam (ABIM). Ia bermula dari Pengerusinya, Datuk Dr Sidiq Fadhil hingga Dr Redzuan serta ramai ahli ABIM lain. 
 
Mungkin Chegubard melihat isu ini remeh. Namun apa bezanya kegiatan IDE ini dengan isu-isu yang pernah dibangkitkannya kerana ia membabitkan soal pengurusan dan tatakelola khazanah kerajaan negeri Selangor?
 
Chegubard adalah ahli politik. Begitu juga Wan Azizah dan Azmin. Mereka mungkin kelihatan seolah-olah saling “berperang” demi memberi gambaran bahawa demokrasi dan hak kebebasan bersuara diamalkan dalam PKR.
 
Adakah ini hanya sandiwara? Dan, Chegubard hanya watak kecil untuk memberi “seri” pada wibawa politik PKR? Apapun, tidakkah ada sumber kewangan kerajaan negeri digunakan untuk aktiviti politik PKR?
 
 

Tiada ulasan: