Rabu, 27 Januari 2016

Cerita 'lawak' tak tutup kes, lantik pendakwa bebas



Oleh Rafizi Ramli 

 
Penjelasan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali semalam berkenaan keputusan beliau menutup kertas siasatan terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal dana RM2.6 bilion dan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd tidak dapat diterima umum.

Bukan sahaja alasan bahawa Najib telah memulangkan kembali “derma” yang diterimanya itu tidak masuk akal, malah ada beberapa perkara asas yang tidak dijawab oleh beliau.

Berhubung pemindahan dana RM42 juta dari SRC International, Apandi seolah-olah lupa bahawa SRC International adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Sebab itu saya terus bertanyakan siapa yang bertanggungjawab meluluskan pemindahan dana itu dari SRC International kerana pegawai teratas yang bertanggungjawab adalah tidak lain dan tidak bukan Najib sebagai menteri kewangan.

Oleh yang demikian, alasan bahawa Najib tidak tahu menahu sebanyak RM42 juta dana SRC International dipindahkan ke akaun peribadinya tidak boleh menyelamatkan beliau dari dakwaan, atas asas-asas berikut:

(1) Mengambil kira bahawa beliau adalah pegawai teratas yang bertanggungjawab kepada keputusan SRC International atas kapasiti beliau sebagai menteri kewangan, mustahil beliau tidak mengetahui mengenai keputusan memindahkan dana itu.

Besar kemungkinan beliau sedia maklum dan pemindahan itu berlaku dengan mendapat kelulusan mengikut prosedur Kementerian Kewangan.

Jika ini keadaannya, Najib sepatutnya didakwa atas tuduhan pecah amanah kerana dana dari syarikat awam di bawah kawalan beliau dipindahkan ke akaun peribadi beliau.

(2) Jika beliau berkeras beliau tidak tahu menahu mengenai pemindahan tersebut, ini bermakna beliau telah cuai dalam menjalankan amanah sebagai pegawai teratas yang bertanggungjawab menguruskan syarikat awam iaitu SRC International.

Dalam keadaan ini, Najib juga sepatutnya didakwa di atas tuduhan cuai dan lalai dalam menjalankan tanggungjawab sehingga menyebabkan kerugian dana awam.

Dalam kedua-dua keadaan, ada kes yang kukuh untuk mendakwa Najib.
Usul di parlimen

Saya percaya atas alasan ini juga, selain daripada bukti-bukti siasatan yang lebih terperinci, Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dato Bahri Mohd Zin dipetik sebagai berkata, SPRM mempertimbangkan untuk merayu supaya kes ini dibuka semula memandangkan ia satu kes yang jelas (straight forward).

Bagaimana pun, saya tidak yakin peguam negara sesuai untuk mengendalikan kes-kes bersabit dakwaan terhadap Najib memandangkan setakat ini beliau cenderung untuk menutup kes tanpa memberi penjelasan yang boleh diterima akal oleh rakyat.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan supaya satu usaha dibuat agar parlimen melantik seorang pendakwa bebas khas dari kalangan pengamal undang-undang yang bebas dan berintegriti untuk membuka semula siasatan terhadap Najib dan meneliti kertas siasatan SPRM dan Bank Negara setakat ini.

Saya akan berbincang dengan ahli-ahli parlimen yang berlatar belakangkan undang-undang untuk merangka satu usul dan usaha membawa perkara ini ke sidang parlimen yang seterusnya dalam bulan Mac 2016.

Saya yakin rakyat Malaysia yang cintakan keadilan tidak boleh putus asa dan terus mencari jalan baru sehinggalah kebenaran mengenai skandal-skandal ini dapat dibentangkan kepada rakyat dan mereka yang bertanggungjawab di bawa ke muka keadilan.

Jika Najib beranggapan cerita lawak yang dibawa Apandi semalam akan menutup kes ini, beliau merendahkan pemikiran rakyat Malaysia keseluruhannya.

RAFIZI RAMLI naib presiden dan setiausaha agung PKR merangkap anggota parlimen pandan.

1 ulasan:

77777 berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.