Sabtu, 9 Januari 2016

BUKAN AHLI POLITIK BERNIAGA JADI MASALAH, MASALAHNYA MENTERI PUN TURUT MENIAGA SAMA

shahbudindotcom

 

 
 
 
Wow...garang tu!!

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mahu ahli politik yang  lebih mengutamakan dunia perniagaan dan kepentingan peribadi daripada memberi khidmat kepada rakyat, agar mengundurkan diri dengan segera.

Katanya, tugas dan tanggungjawab utama pemimpin serta ahli politik ialah untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan menjadikan parti politik sebagai platform untuk mendapat lebih banyak tender kerajaan.

Menurut beliau, sikap segelintir pemimpin dan ahli politik seperti itu telah mencemar nama baik parti serta negara.

Zahid Hamidi seterusnya mahukan pemimpin dan ahli politik memberikan sepenuh tumpuan kepada politik, manakala yang berniaga menumpukan kepada perniagaan masing-masing.

Cukuplah...jangan rosakkan nama orang politik. Berilah peluang kepada usahawan muda, jelasnya lagi.

Sekali imbas ternampak kenyataan garang Zahid ini cukup baik, bukan saja untuk UMNO, tetapi juga bagi rakyat dan negara.

Namun, tolonglah realistik sikit...lebih-lebih lagi Zahid sendiri pernah terlibat dalam dunia korporat dan perniagaan sebelum menganggotai jentera pentadbiran kerajaan.

Ada masalahkah kepada beliau dalam memberi khidmat kepada rakyat ketika itu?

Dulu dalam UMNO kebanyakannya terdiri daripada guru-guru, maka ahli politik terlibat dalam perniagaan begitu asing, tetapi sekarang ini, sesuai dengan peredaran zaman, ahli perniagaan menjadi lebih ramai. Bahkan melalui kepesatan pembangunan negara, hampir semua orang ingin terlibat dalam perniagaan.

Ahli politik yang tidak terlibat dengan pentadbiran kerajaan, tidaklah menjadi kesalahan untuk mereka berniaga kerana di situlah datangnya sumber kewangan untuk berkhidmat kepada rakyat, selain menjadikan kehidupan berkeluarga bertambah selesa.

Jika tidak berniaga, daripada manakah ahli politik di peringkat cawangan dan bahagian mahu mendapatkan sumber kewangan mereka?

Apakah Zahid mahu semua ahli politik menghabiskan gaji bulanan, mengorek semua tabung simpanan atau menjaja "tempurung"  meminta bantuan ke sana sini untuk memperolehi sumber kewangan bagi meneruskan khidmat kepada rakyat?

Bukan perkara asing juga bahawa ahli politik biasanya menyumbang lebih lagi untuk khidmat kepada masyarakat sekiranya lebih banyak peluang perniagaan yang mereka perolehi.

Oleh itu, sebenarnya tidak ada masalah bagi pemimpin atau politik terlibat dalam perniagaan, asalkan mereka tidak terlibat dalam pentadbiran kerajaan.

Yang menjadi masalah dalam negara sekarang ialah adanya menteri, timbalan menteri dan anggota pentadbiran kerajaan pun terlibat sama dalam perniagaan. Daripada sebelum dilantik dalam kerajaan sehinggalah berjawatan tinggi pun masih juga mahu berniaga dan berebut tender kerajaan.

Ada yang berniaga menggunakan nama isteri, anak, adik-beradik, saudara-mara  dan berpuluh-puluh proksi yang lain. 

Tidak cukupkah gaji dan elaun lumayan yang diperolehi daripada kerajaan?

Apabila rakyat, ahli perniagaan biasa atau usahawan muda datang meminta pertolongan, mulalah bermacam-macam alasan diberikan untuk menolak permohonan mereka. Hakikatnya, semua peluang itu sebenarnya hanya mahu diagihkan untuk syarikat yang ada kaitan dengan diri mereka saja.

Yang menciplak kertas cadangan usahawan tulen, lalu menukar "covernya" bukan juga perkara baru, malah sudah sering menjadi bualan berlaku pejabat menteri, timbalan menteri atau anggota pentadbiran yang lain.

Inilah sebenarnya masalah utama yang melibatkan orang politik dan perniagaan. Tiada masalah bagi orang politik untuk terlibat dalam perniagaan, asalkan mereka tidak memegang apa-apa jawatan awam. 

Masalah besarnya  ialah orang politik yang sudah dilantik dalam kerajaan pun terus mahu berniaga serta tidak tahu berhenti daripada mengaut keuntungan melalui tender-tender kerajaan.

Selain menggunakan nama anak, isteri, adik-beradik atau saudara-mara sebagai proksi untuk terus berniaga, siapakah menteri, timbalan menteri dan anggota pentadbiran kerajaan yang tiada "tauke besar" di belakang mereka?

Jika benar Zahid mempunyai iltizam mahu membersihkan nama UMNO dan kerajaan, perkara inilah yang yang perlu beliau beri perhatian lebih khusus.

Sebagai orang nombor dua dalam kerajaan, Zahid pastinya boleh berbuat sesuatu yang berkesan untuk menghalang para menteri, timbalan menteri dan anggota pentadbiran kerajaan yang lain daripada terlibat dalam perniagaan.

Mereka inilah yang sepatutnya diberi amaran untuk memberi sepenuh tumpuan kepada politik serta khidmat demi rakyat serta jangan sesekali terlibat dalam perniagaan.

Saudara mara, terutamanya adik-adik menteri, timbalan menteri dan anggota pentadbiran kerajaan juga harus dilarang melibatkan diri dalam apa-apa perniagaan di kementerian di mana mereka berkhidmat.

Oppss...yang penting sekali daripada segala-galanya, apa kata Zahid sendiri cuba sedaya upaya menjadikan dirinya sebagai contoh teladan terlebih dahulu. 
 
 
 

Tiada ulasan: