Selasa, 12 Januari 2016

Bantah program ratu cantik dunia di Melaka

Bantah program ratu cantik dunia di Melaka
Pertandingan ratu cantik di Melaka baru-baru ini. – Foto Laman Web Tourism Melaka


SHAH ALAM – Muslimat Pas Melaka hari ini melahirkan bantahan terhadap penganjuran program Kerajaan Negeri Melaka yang membawa 52 ratu cantik dunia di negeri itu.

Ketuanya, Kintan Man berkata, penganjuran program berkenaan mengeksploitasi fitrah maruah wanita sekaligus melanggar syariat ALLAH.

“Kami pandang serius atas usaha dan tindakan yang diambil oleh kerajaan Negeri kerana dengan itu mengiktiraf pertandingan itu. Banyak lagi usaha yang boleh diambil oleh kerajaan negeri untuk mempromosi Melaka.

“Pendapatan kerajaan negeri boleh dijana menerusi bidang pelancongan seperti contoh menaik taraf tempat-tempat pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong, mempromosikan budaya Gotong Royong di kalangan masyarakat Melayu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, keadaan tentu berbeza sekiranya negeri tersebut ditadbir oleh Pas.

“Sesungguhnya Islam mengangkat (lebih tinggi) lagi memartabatkan maruah Wanita.

“Kami nyatakan kesediaan serta kemampuan untuk mentadbir negeri Melaka sesuai dengan lunas-lunas Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Pas Fasal 5(1) iaitu mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana nilai Islam dan hukum yang menuju keredhaan ALLAH,” katanya lagi.


Tiada ulasan: