Selasa, 5 Januari 2016

‘Bangga’ projek kecil siap tujuh tahun, BN Perak lembab laksana pembangunan

image

Oleh Fatih Hassan Nordin



KUALA LUMPUR : Pelbagai projek kemudahan untuk rakyat mengambil masa lama untuk disiapkan sejak UMNO BN mengambil alih pentadbiran kerajaan Perak daripada pembangkang, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Ia, katanya termasuk pembinaan jalan selari di Ayer Tawar yang tergendala sejak 2009 walaupun mendapat peruntukan RM5 juta manakala pembinaan jenjantas depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nan Hwa yang diluluskan pada 2008, lambat disiapkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Setiawan itu berkata, BN sering menabur janji untuk melaksanakan dua projek itu tetapi sehingga kini hanya projek pembinaan jejantas yang siap, itupun selepas tujuh tahun diabai. 

“Kerajaan BN Perak harus malu dan tidak bermegah atau bangga dengan pembinaan jejantas yang mengambil masa tujuh tahun itu. Perak di tangga kedua negeri paling miskin di Malaysia dan akan jauh ketinggalan jika hal ini terus berlaku,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Koo Ham berkata, pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP jauh meninggalkan BN Perak dari sektor pembangunan melalui pelaksanaan projek berbilion ringgit berbanding BN Perak yang terkial-kial dengan projek jutaan ringgit.

“Di Pulau Pinang, pembinaan jejantas tidak di uar-uar pun ke serata tempat, tidak seperti BN Perak yang mencanang projek kecil itu seolah-olah ia kejayaan luar biasa. Memalukan saja,” katanya.

Justeru, beliau berkata Pakatan Harapan wajar diberi mandat untuk mentadbir Perak  jika mahu negeri itu maju seperti Pulau Pinang supaya negeri itu tidak berterusan mundur akibat kelemahan pemerintahan BN.


Tiada ulasan: