Selasa, 12 Januari 2016

Azan, Negaraku 'sejukkan' stadium Kelantan

MALAYSIAKINI


 


Selepas bertukar wajah kepada warna merah jambu, Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan bakal 'disejukkan' dengan laungan azan secara langsung.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, lagu Negaraku turut berkumandang di stadium berkenaan sebelum perlawanan bermula.

Itu adalah dua pembaharuan yang bakal dapat disaksikan di Kota Bharu sepanjang musim liga tahun ini berlangsung.

Kata Annuar lagu Negaraku itu akan dinyanyikan secara langsung oleh jemputan khas.

"Amalan menyanyikan lagu kebangsaan secara langsung di stadium telah dilakukan oleh kelab terkemuka di England dan Eropah. Kini Kafa pula mengambil pendekatan itu," katanya,

Turut mengalami pembaharuan ialah aspek kelolaan serta penjualan tiket secara dalam talian dan bermusim.

Annuar turut menyatakan, lebih banyak atlet akan dibawa untuk terlibat kali ini.

Utama elemen kekeluargaan

Turut mendapat perhatian Kafa ialah golongan budayawan, anak yatim, orang kelainan upaya (OKU) dan individu berjaya.

"Azan juga akan berkumandang secara langsung dari stadium," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida mahu menyuntik elemen kekeluargaan di stadium berkenaan sepanjang saingan Liga M musim ini.

Annuar berkata elemen kekeluargaan juga akan diterapkan untuk menyemarakkan lagi semangat penyokong TRW.

"Kita cuba terapkan konsep muhibah, kekeluargaan dan keprihatinan. Elemen ini akan diperkenalkan untuk memberi nilai tambah kepada pengunjung," jelasnya.

Susulan itu pendekatan yang bakmal diambil itu, beliau berkata, Kafa akan mengadakan rundingan dengan FAM dan Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam untuk membincangkan perkara itu.

Pada Jumaat lalu, Kafa dan Vida mencapai kata sepakat mengenai kontrak penajaan TRW selama dua musim melibatkan nilai RM16 juta.


Tiada ulasan: