Ahad, 24 Januari 2016

Ahli Parlimen PAS diberi amaran jangan undi sokong TPPA

 Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen PAS sudahpun diarahkan menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan dibahaskan di Parlimen pada Selasa dan Rabu ini.  
 
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mana-mana ahli Parlimennya yang ingkar dengan arahan parti akan dihukum oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), akan datang.
 
"Kita (PAS) sudah keluarkan arahan untuk turut semua membantah dan kita tidak benar Ahli Parlimen PAS yang sokong TPPA dan ini pendirian parti dan didokongi oleh semua Ahli Parlimen dan kita harap pembangkang lain pun sama. Bagi saya wakil Umno pun patut lihat ini bukan dalam konteks parti sahaja tapi dalam konteks masa depan negara.
 
"Rakyat akan hukum, memang rakyat akan hukum, mana-mana Ahli Parlimen yang menyokong TPPA ini rakyat akan menghukum mereka untuk tidak memilih mereka pada PRU14 nanti dan kita akan pandang serius benda ini," kata Tuan Ibrahim kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Bantah TPPA di Padang Merbok, Kuala Lumpur hari ini. 
 
Himpunan bantah TPPA hari ini mencatatkan satu lagi kejayaan buat PAS apabila hampir 10,000 ahlinya hadir di Padang Merbok hari ini.
 
Rata-rata mereka memakai baju hijau dengan membawa plakad serta kain rentang yang menggesa kerajaan pemerintah agar tidak menyertai TPPA.
 
Selain Tuan Ibrahim PAS turut diwakili tiga naib presidennya, Datuk Amar Nik Mohamad, Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abdul Samad, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamad, Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali, Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan dan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
 
Rakan kerjasama politiknya, PKR diwakili Naib Presidennya, Tian Chua.
 
Hanya PAS dan PKR berkumpul di Padang Merbok sementara parti serpihannya, Parti Amanah negara (PAN) bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM)  berkumpul di Jalan Raja, kira-kira 50 meter daripada Dataran Merdeka.
 
Manakala tiada kelibat pemimpin DAP dikesan sepanjang himpunan itu berlangsung.
 
Himpunan itu pada mula mensasarkan Dataran Merdeka sebagai lokasi terakhir untuk pesertanya berkumpul sebelum diubah ke Padang Merbok.
 
 

Tiada ulasan: