Ahad, 3 Januari 2016

Ahli PAC perlu henti buat tuduhan, fokus siasat 1MDB

SINAR HARIAN


1MDB
1Malaysia Development Berhad


KUALA LUMPUR - Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara  (PAC) perlu memberi fokus terhadap siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan berasaskan bukti, dan berhenti daripada membuat kenyataan bersifat prejudis, kata seorang daripada ahli jawatankuasa itu.

Datuk Liang Teck Meng berkata ahli PAC perlu menunaikan tugas mereka sebagai Ahli Parlimen dan memberi fokus terhadap fakta dan bukti, bukannya dengan mewujudkan persepsi tidak benar.

"Saya ingin menasihati anggota berkenaan supaya berhenti  bermain politik kotor, sebaliknya menunaikan tugas secara terhormat sebagai Ahli Parlimen dan berkhidmat untuk orang ramai serta memberi fokus kepada fakta dan bukti berasaskan siasatan dan penghakiman mengenai 1MDB," kata Liang, yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, dalam laman Facebooknya hari ini.

Liang bagaimanapun tidak menyebut nama Ahli Parlimen berkenaan.

Menurut laporan media, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP Tony Pua telah menulis mahu mendedahkan orang yang menjadi 'penyangak' di belakang 1MDB dalam laman Facebooknya pada 1 Januari lepas.

"Anda bertanggungjawab kepada pengundi anda untuk mendedahkan perkara sebenar, bukan mewujudkan persepsi tidak benar, Yang Berhormat. Berhentilah daripada bermain-main," kata Liang.

Liang berkata orang yang waras tidak akan sekali-kali cuba menimbulkan prejudis dan mengaibkan diri sendiri serta PAC dengan cara itu, melainkan beliau mempunyai agenda politik tersembunyi yang tidak berasaskan kebenaran atau fakta sebagai bukti.

"Ini menimbulkan persoalan sama ada ahli PAC berkenaan sengaja mahu beliau digantung atau dipecat daripada tugas menjalankan penyiasatan terhadap 1MDB apabila beliau secara terang-terangan dan berulang kali melanggar arahan tetap Parlimen dan PAC.

"Yang Berhormat ini secara jelas membuat dakwaan berasaskan pendapatnya yang berat sebelah, bukan berasaskan akaun atau temubual dengan banyak saksi yang dipanggil PAC setakat ini - dan sudah tentu tidak berasaskan apa yang dimaklumkan oleh para juruaudit kepada kami.

"Dengan secara terang-terangan mengharapkan beliau digantung menjelang hasil akhir siasatan terhadap 1MDB, adakah beliau mahu membuat kesimpulan awal mengenai hasil itu agar beliau dianggap menjadi mangsa bagi mewujudkan persepsi dalam kalangan orang ramai bahawa beliau dihalang secara tidak adil daripada 'membongkar kebenaran serta mendedahkan mereka yang menjadi penyangak'?" katanya. -Bernama


Tiada ulasan: