Ahad, 10 Januari 2016

Ahli akademik cadang tubuh jawatankuasa khas selaras kurikulum maahad tahfiz

THE MALAYSIAN INSIDER

Timbalan Naib Canselor Akademik Antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Prof Zulkiple Abd Ghani berkata, Jakim boleh memberi khidmat nasihat kepada kerajaan negeri, swasta dan persendirian mengenai kurikulum sesuai yang boleh diwujudkan termasuk penglibatan daripada Kementerian Pendidikan. – Gambar fail Reuters, 10 Januari, 2016.Timbalan Naib Canselor Akademik Antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Prof Zulkiple Abd Ghani berkata, Jakim boleh memberi khidmat nasihat kepada kerajaan negeri, swasta dan persendirian mengenai kurikulum sesuai yang boleh diwujudkan termasuk penglibatan daripada Kementerian Pendidikan. – Gambar fail Reuters.
 
 
Sebuah jawatankuasa khas perlu diwujud bagi membincangkan penyeragaman kurikulum maahad tahfiz di seluruh negara dalam usaha melahirkan huffaz profesional yang cemerlang.

Timbalan Naib Canselor Akademik Antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Prof Zulkiple Abd Ghani berkata melalui jawatankuasa itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bawah Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), boleh menjalankan peranan bagi menyelaraskan kurikulum tersebut.

Malah, pada masa ini sudah ada model mengintegrasikan pelajaran al-Quran dan Sains yang dilaksanakan di beberapa maahad tahfiz seperti di Ma'ahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Istana Bandar (MITIB), Banting dan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata melalui jawatankuasa itu, Jakim boleh memberi khidmat nasihat kepada kerajaan negeri, swasta dan persendirian mengenai kurikulum sesuai yang boleh diwujudkan termasuk penglibatan daripada Kementerian Pendidikan. 
 
Zulkiple diminta mengulas gesaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam, supaya kurikulum maahad tahfiz di seluruh negara diseragamkan untuk menghasilkan huffaz profesional cemerlang yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Rosna Awang Hashim pula berkata jawatankuasa itu dapat dijadikan platform kepada pihak berkepentingan berkaitan isu itu, bertemu bagi membincangkan hala tuju kurikulum berkenaan.

"Justeru, perlu ada pihak berpengaruh dan berkepentingan yang memanggil bagi membentuk jawatankuasa ini supaya semua pihak terlibat berminat menjadikan perkara ini satu kenyataan," katanya.

Rosna yang juga pensyarah Psikologi Pendidikan di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata adalah menjadi keuntungan besar kepada negara apabila huffaz yang dihasilkan daripada maahad tahfiz dapat mengisi ruang sebagai profesional di negara ini termasuk sebagai pemimpin.

"Sudah tentu mereka ini mempunyai nilai agama tinggi dan setiap keputusan dibuat tidak berdasarkan rasional semata-mata, sebaliknya disertai oleh pertimbangan agama," katanya. – Bernama


Tiada ulasan: