Rabu, 6 Januari 2016

6 sekolah di Sarawak dibaik pulih guna Sistem Binaan Berindustri (IBS)

THE MALAYSIAN INSIDER

Projek membaik pulih sekolah menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) akan diperluas ke seluruh negara dengan projek permulaan di 6 buah sekolah di Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Januari, 2016. Projek membaik pulih sekolah menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) akan diperluas ke seluruh negara dengan projek permulaan di 6 buah sekolah di Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata projek membaik pulih sekolah menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) akan diperluas ke seluruh negara dengan projek permulaan di 6 buah sekolah di Sarawak. 
 
Enam buah sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau, SK Nanga Pua, Selangau, SK Kampung Tanam, SK Kalok Pusa, Betong dan SK Abang Man, Simunjan dengan kos kira-kira RM2 juta setiap sekolah.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, ini susulan projek perintis penggunaan IBS membaik pulih Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil terbukti berjaya menjimatkan masa manakala harga juga lebih kompetitif berbanding kaedah konvensional.

"Dengan kejayaan projek di SJKT Dengkil, kami akan lanjutkan (baik pulih sekolah guna IBS) ke tempat lain. Selepas ini, 6 buah sekolah di Sarawak dikenal pasti akan dibaik pulih dengan kaedah IBS.  
 
 "Dengan kejayaan seperti ini, saya berharap dapat memperlihatkan kesungguhan kerajaan meningkatkan prasarana pendidikan negara dan di samping itu, diharap tahap pencapaian dalam sistem pendidikan kita akan terus meningkat," katanya dalam sidang media selepas meninjau hasil baik pulih SJKT Dengkil, di Dengkil hari ini.

Najib menghabiskan masa kira-kira sejam meninjau kerja baik pulih di sekolah itu selain beramah mesra dengan pelajar dan guru di sekolah itu.

Hadir sama ialah Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Pada 29 Oktober lalu, Najib mengadakan lawatan mengejut ke SJKT Dengkil yang mempunyai 280 pelajar dan 24 guru, bagi meninjau keadaan sekolah dan kebajikan murid dan menggesa pihak berkenaan menjalankan pembaikan segera untuk membaik pulih keadaan sekolah yang tidak memuaskan.

Penambahbaikan itu termasuk menangani masalah longkang terbuka, membaik pulih sistem pendawaian, makmal sains, kantin dan pusat sumber, kebocoran bumbung dan pagar di sekeliling sekolah itu.

Hari ini, Najib yang gembira dan berpuas hati dengan projek perintis membaik pulih SJKT Dengkil, berkata ia satu “projek teristimewa” kerana berjaya membawa transformasi dalam masa yang singkat.

"Dalam tempoh 40 hari sahaja, sekolah ini bertukar wajah. Kini ia memiliki blok 2 tingkat, makmal sains, perpustakaan, bilik guru yang dinaik taraf dan longkang yang terdedah ditutup," katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata projek membaik pulih 6 buah sekolah di Sarawak akan bermula dalam tempoh terdekat apabila kontraktor dilantik.

Beliau berkata pegawai Kementerian Pendidikan akan turun padang bagi mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan guru besar dan pengetua sekolah terbabit pada minggu ini.

"Kini, terdapat kira-kira 7,000 buah sekolah di seluruh negara. Kos membaik pulih sekolah yang uzur dan kritikal akan menelan kos yang tinggi.

"Maka, teknologi IBS merupakan salah satu alternatif untuk membaik pulih sekolah dan ia bergantung dengan lokasi sekolah juga. Selain itu, IBS diperakui Jabatan Kerja Raya selamat," katanya sambil menambah bahawa ia menjimatkan kos.

Memberikan contoh, Mahdzir berkata kos membaik pulih SJKT Dengkil dengan teknologi IBS adalah RM1.6 juta berbanding kaedah konvensional antara RM4 juta hingga RM5 juta. – Bernama,


Tiada ulasan: