Selasa, 5 Januari 2016

2016 yang lebih mahal, semakin mencabar



Oleh Timmy Say


Pada akhir tahun, ramai pemimpin negara sibuk bercuti, manakala rakyat jelata perit memikirkan cara mencari dana untuk membiayai peralatan dan persediaan anak-anak ke sekolah yang naik kerana adanya cukai barangan dan perkhidmatan (GST).Kos sara hidup pada 2016 dijangka lebih tinggi daripada 2015.

Pada 2016, selain ERL yang sudah dinaikkan harga kepada RM55, 37% daripada RM35 pada 2015, harga kereta yang sepatutnya menurun juga meningkat akibat kejatuhan ringgit.

Toyota dan Honda sudah pun mengumumkan kenaikan harga. Proton yang bergantung kepada import bahan mentahnya juga memikirkan untuk menaikkan harga.

Bukan itu sahaja, jika pendapatan negara daripada minyak dan Petronas terus tidak menepati sasaran kerana kemuraman harga minyak sedunia, kemampuan kerajaan untuk membayar pampasan tol kepada 8 syarikat konsesi lebuh raya yang sepatutnya menaikkan harga pada 2016 juga akan terjejas terutamanya Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Kemungkinan harga tol akan dinaikkan itu sangat tinggi. Jika tidak, kemungkinan kadar GST dinaikkan turut ada, atau sayap GST dilebarkan meliputi pembayaran tol dan juga pembelian minyak.

2016 juga menyaksikan beban rakyat meningkat di dalam bil elektrik selepas rebat dan subsidi elektrik dimansuhkan. Kawalan harga minyak masak turut dihapuskan di 2016 dan ini akan menyebabkan kenaikan harga makanan yang dijual di restoran bahkan pasar malam.

Ketika ini, akan timbul ahli-ahli politik yang memberikan janji-janji populis – antaranya GST akan dimansuhkan sambil mengekalkan pemberian BR1M. Ada pula ahli politik yang menyarankan rakyat mencari sumber pendapatan yang kedua dengan melakukan 2 kerja.

Walaupun niatnya baik, tapi sudah tentu rakyat kepanasan apabila cadangan itu datang daripada kalangan mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kos sara hidup tinggi.

Kerajaan kini sibuk dengan kerja menyelesaikan hutang 1MDB. Tindakan kerajaan seolah-olah masalah rakyat akan selesai dengan menyelesaikan 1MDB.

Hutang 1MDB dan bunga hutang yang dibayar selama ini untuk apa sebenarnya? Harta yang dijual kepada 1MDB tidak dibangunkan.

Hutang yang dikumpulkan 1MDB pula dibayar dengan harta yang dijual kepada 1MDB. Apa untungnya 1MDB kepada negara? Apakah nilai ringgit dan kredibiliti kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan pulih apabila 1MDB selesai menjual segalanya?

Kerajaan tiada penyelesaian. Pembangkang juga tiada penyelesaian. Cuma mereka sibuk bergaduh sesama sendiri. Satu hanya nak pertahan kuasa, satu hendak kuasa.

Ketika ekonomi tidak stabil, sepatutnya mereka berjiwa besar membuat gencatan senjata dan menumpukan segala kerja untuk membantu rakyat. Kini, yang ada hanyalah peringatan untuk rakyat mengisi borang BR1M. Ironinya, kedua-dua pihak sedang giat melakukannya.

Semua tahu BR1M bukanlah penyelesaian. BR1M cumalah panadol. Ubat tahan sakit lama kelamaan akan hilang kesan juga. Lebih teruk, ada yang menjadi ketagih. Dan apabila ketagih, tiada siapa yang mahu memulihkannya.

Itu jelas apabila pemimpin pembangkang yang dulu mencemuh BR1M kini menawarkan BR1M jika mereka berkuasa.

2016 – bersediakah rakyat Malaysia untuk merentasinya?

Tiada ulasan: