BELI tanah Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi dengan harga murah, tubuh syarikat pemaju dan jual 60 peratus saham kepada konsortium China-Malaysia.
Satu lagi contoh perniagaan atas angin 1MDB ala pelaburan strategik ciptaan Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib bin
Abdul Razak.
Betul lah macam kata (Tan Sri) Rafidah Aziz, 1MDB
tak bawa apa-apa keuntungan kepada negara. Tak payah tunggu Rafidah buat
kesimpulan. Rakyat jelata pun dah faham. Bukan tak untung malah rugi besar.
Bukan rugi duit saja, tapi hilang maruah dan kedaulatan.
Itulah “hadiah” tahun baru 2016 Mohd Najib dan budak
cerdiknya, Arul “Azrul” Kanda Kandasamy kepada kita – jual 60 peratus saham projek
Bandar Malaysia atas tapak pangkalan TUDM itu dengan harga RM7.41 bilion kepada
konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway
Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).
Syarikat Negeri China pemilik utama Bandar Malaysia |
IWH adalah milik Cina Malaysia, (Tan Sri) Lim Kang Hoo yang dikatakan tauke pilihan di Johor manakala CREC adalah milik kerajaan China.
Mari kita jadi pahat yang berbunyi selepas rumah
siap pasal rumah yang kononnya siap itu compang-camping macam reban ayam
sementara. Rasanya dangau di tengah sawah lagi kukuh.
Lim Kang Hoo termasyhur di Johor |
Kononnya masalah hutang dan skandal 1MDB dah selesai. Tapi dok tak dok, hutang yang kita sebut-sebut RM42 bilion dah naik jadi RM45 bilion. Harta dekat-dekat habis dijual kepada orang asing.
Kita pun kena juga tanya syarikat dari China itu,
kepakarannya kereta api. Adakah ia juga berkepakaran dalam bidang hartanah.
Takut-takut ada muslihat lain di sebalik penjualan kepada syarikat dari China
itu.
Yang kita tahu projek landasan berkembar dari Gemas ke Johor Baru belum lagi dibagi kepada sesiapa.
Yang kita tahu projek landasan berkembar dari Gemas ke Johor Baru belum lagi dibagi kepada sesiapa.
Silap-silap banyak lagi aset negara akan dijual atau dipajakkan kepada orang asing untuk tutup lubang 1MDB dan kekalkan Mohd Najib sebagai Perdana Menteri.
Apa Yang Strategiknya?
Macamlah pelaburan hartanah
strategik dan susah sangat sampai pelabur tempatan tak mampu nak buat. Apa
halnya dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan amanah Bumiputera
macam Sime UEP, SP Setia, Boustead dan banyak lagi yang dah berpuluh tahun jadi
pemaju hartanah?
Pasal apa tak jual kepada
mereka? Pasal apa tak suruh mereka pakat-pakat buat konsortium?
Cuba tanya, siapa yang majukan
KLCC, KL Sentral, Subang Jaya-USJ dan banyak lagi projek hartanah bersepadu
kalau bukan syarikat-syarikat tempatan milik kerajaan dan agensi pelaburan
Bumiputera?
Kalau nak juga pelaburan negeri
China, ajaklah mereka buat projek yang betul-betuk strategik macam bina kapal
terbang, kereta api laju atau kapal kontena yang macam mereka buat di negeri
China?
Kalau tak mahu bagi kepada
Melayu sebab takut dituduh kroni atau malu nak minta “derma”, pakatlah dengan
syarikat Cina tempatan yang ternama dan terbukti macam Eco World, Pavilion
Reit, Mah Sing dan banyak lagi.
Ini Cerita Anak Jahat
Cara 1MDB berniaga ini cerita anak jahat yang curi-curi beli tanah bapa sendiri dengan harga murah dan sembunyi daripada adik-beradik. Bila nak pinjam duit bank, bank minta bapa bagi jaminan. Bapa pun bagi sebab anak janji nak hantar pergi Makkah buat umrah.
Tumbuk rusuk sana, bagi rasuah
sini, tanah pun ditukar kegunaan dan dinilai semula dengan harga yang tinggi.
Tapi tembelang pecah.
Adik-beradik dapat tahu dan mengamuk. Nak jual kepada Melayu, Melayu tak ada
duit. Yang ada duit takut diseret ke dalam pergaduhan keluarga macam yang jadi
kepada Tabung Haji bila beli tanah TRX. TRX adalah satu lagi perniagaan atas
angin 1MBD.
Pergi jumpa Ah Eng tauke emas,
Ah Eng tak mahu sebab harta dah jadi beracun (toxic). Jadi kenalah cari Cina
tempat lain yang berani. Cina tempat lain tu pula pakat dengan Cina dari Negeri
China.
Jadi tanah yang dulu milik
keluarga sekarang 60 peratus dah jadi hak orang lain. Adik-beradik terlepas
juga sebab duit yang dapat nak kena guna bayar hutang.
Gadai dan jual aset modus operandi Arul "Azrul" Kanda |
Jangan salahkan Cina, tak kira
Cina tempatan atau Cina negeri China, Singapura, Indonesia atau Taiwan. Mereka
peniaga. Kerja mereka cari dan ambil kesempatan. Kalau Melayu bodoh, tamak
haloba dan rasuah, jangan marah Cina kalau habis harta tergadai.
Kerja Haram Zadah
Meminjam dan mengubah suai dua
ungkapan yang Mohd Najib sendiri guna, yang “haram zadah” adalah Melayu jenis
bangsat yang sanggup gadai maruah bangsa dan agama kerana mabuk kuasa, gila
harta dan suka berfoya-foya.
Sebelum ini 1MDB beli penjana
elektrik bebas (IPP) milik Melayu, Cina dan India tempatan dengan harga tinggi
kemudian jual lebih murah kepada pelabur Cina negeri China. Melayu, Cina dan
India tempatan untung sebab dapat untung besar bila 1MDB beli mahal. Syarikat
negeri China pula untung sebab 1MDB jual murah.
Tak hairanlah kalau kita tercium
sesuatu yang mencurigakan dalam urusan jual-beli terbaru ini. Seolah-olah ada udang sebalik baru.
Kemudian upah pemakan-pemakan
dedak menyalak kononnya masalah 1MDB dah selesai, dosa dah tertebus, janji dah
tertunai dan segala-galanya beres.
Tapi hanya orang yang tak tahu
apa-apa saja akan percaya cerita karut-marut mereka. Yang tulis itu pun rasanya
tak faham sebab mereka pun bergantung kepada penulis hantu.Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan