Selasa, 12 Januari 2016

1MDB bertegas sukuk RM2.4 bilion digunakan ikut perjanjian

MALAYSIAKINI







Firma pelaburan negara, 1MDB menyangkal dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa sebahagian daripada dana sukuk bernilai RM2.4 bilion untuk Bandar Malaysia tidak dijelaskan dan berkata bahawa ia telah pun digunakan dengan baik.

"Rafizi nampaknya mencadangkan bahawa hasil daripada sukuk Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) mungkin telah digunakan dengan cara yang tidak betul.

"1MDB menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini dan malah, mengesahkan hasil yang diraih oleh BMSB telah digunakan sejajar dengan terma Perjanjian Program Sukuk," kata firma itu dalam kenyataan hari ini.

"1MDB sekeras-kerasnya menafikan dakwaan itu dan mengesahkan bahawa dana yang diperoleh oleh BMSB sebenarnya telah digunakan mengikut terma-terma perjanjian program sukuk," kata firma itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata dana itu digunakan untuk membiayai sebahagian kos projek pemindahan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL), fi pra-pembiayaan dan perbelanjaan untuk Program Sukuk, pembiayaan akaun rizab pembiayaan prasyarat dan sebagai modal kerja oleh 1MDB Real Estate yang kini dikenali sebagai TRX City Sdn Bhd.

1MDB tidak memberikan pecahan khusus bagaimana dana sukuk itu dibelanjakan.

Firma itu juga membidas Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan yang mendakwa bahawa perbelanjaan RM1.6 bilion daripada sukuk bernilai RM2.4 bilion itu tidak direkodkan.

Ia berkata tindakan Rafizi yang mencadangkan hasil daripada bon Islam itu mungkin tidak digunakan dengan baik sebagai 'tidak bertanggungjawab'.

Menurut kenyataan itu, Rafizi dengan sengaja telah mengabaikan kenyataan terperinci yang dikeluarkan 1MDB pada 6 Januari lalu, yang mana tanpa ragu-ragu, menyatakan dengan jelas bahawa ini tidak akan menjadi isu apabila beliau membangkitkan kebimbangan mengenai sebuah syarikat asing yang mungkin terlibat dalam projek pemindahan semula pangkalan udara itu.

Sambil mengulangi pendiriannya, 1MDB berkata Perbadanan Perwira Hartanah Malaysia (PPHM), anak syarikat 100 peratus Lembaga Tabung Angkatan Tentera, adalah dan akan terus menjadi, kontraktor siap guna untuk projek Pemindahan Semula PUKL.

PPHM telah melantik lebih 50 kontraktor Bumiputera yang berkelayakan sebagai sub-kontraktor untuk melaksanakan pelbagai aspek pembinaan dan mereka akan mengekalkan kontraktor yang ditetapkan dan melaksanakan peranan mereka secara eksklusif.

Kontraktor ini telah mendapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan dan pembinaan akan diselia oleh pegawai berkaitan daripada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

"Memandangkan pembinaan akan terus dijalankan oleh kontraktor semasa yang diluluskan, oleh itu, tiada persoalan mengenai sebarang kesan kepada keselamatan negara daripada penjualan oleh 1MDB bagi 60 peratus kepentingannya dalam projek Bandar Malaysia," kata 1MDB.

 

Tiada ulasan: