Jumaat, 27 November 2015

Umno jangan jadi Si Tanggang



Oleh Razali Awang


Jika dibandingkan dengan puluhan siri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelumnya, pendekatan yang dibuat pada tahun ini amat ‘ganjil’ sekali.Satu persatu kepelikan diumumkan dengan pelbagai alasan yang menguji rasional dan kepintaran minda.

Entah di mana silapnya, kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa perhimpunan kali ini, media tidak akan dibenarkan membuat liputan semasa persidangan di Dewan Merdeka, di larang berlegar-legar dan lebih mengejutkan, tiada siaran langsung daripada televisyen litar dari dalam dewan kepada mereka yang bersimpuh di lobi, bermundar-mandir di kaki lima atau kepada mereka yang menghirup kopi di Riverside.

Kata-kata beliau yang dirakam wartawan di Parlimen menimbulkan banyak persoalan daripada jawapan. Paling tidak kepada perwakilan. Jika tiada lagi litar televisyen, apakah pengisian kepada mereka.

Adakah Mak Jemah akan duduk bersembang sambil mengira gelang di lengan, membanding beg tangan, membelek telefon pintar atau mereka akan melepak ke kompleks membeli belah sementara menunggu PAU selesai?

Bagi kaum Adam pula, adakah mereka berterusan lepak dengan bercawan teh dan kopi dengan asap berkepul-kepul sementara menunggu masa berlalu?

Imaginasi itu terbayang sebaik Ku Nan membuat kenyataan yang dianggap lebih banyak halusinasi berbanding realiti.

Jika benar seperti yang beliau kata, maka begitu hebat sekali peraturan pada PAU tahun ini khususnya kepada media.Hilanglah kemesraan yang terjalin selama ini antara UMNO dan media. Segalanya akan renggang.

Alasan Ku Nan bahawa tindakan itu dibuat bagi mengelak berita daripada PAU kali ini disensasi ada logiknya. Tetapi adakah beliau lupa, dengan sekatan yang dibuat akan lebih banyak akan disensasi kerana itu fitrah manusia. Makin dilarang, makin dicari.

Kenyataan Setiausaha Agung UMNO itu yang sememangnya dikenali dengn sikap tegas dan lepas cakap itu membuatkan ramai wartawan dan pengamal media sentap.Dalam masa yang singkat segalanya menjadi viral.

Maklumlah, larangan ini membabitkan media sendiri, tidak kira sama ada mereka pro kerajaan, pro pembangkang atau jenis atas pagar. Kecoh memang kecoh bila ia kena atas batang hidung wartawan sendiri.

Di hari yang sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan yang cuba menjernihkan keadaan dan menjelaskan perkara itu masih belum diputuskan Majlis Tertinggi.

Satu lagi persoalan timbul. Jika benar seperti yang dikata beliau, Ku Nan membuat kenyataan bagi pihak mana?

Adakah kenyataan itu bersifat peribadi atau Zahid cuba bermain tarik tali?

Tulisan ini tidak menyentuh mengenai pelbagai peraturan “luar tabie” pada PAU kali ini, termasuk Timbalan Presiden UMNO tidak lagi merasmikan mesyuarat sayap sayap parti dan hanya dua daripada tiga Naib Presiden UMNO akan memberi kenyataan kepada media setiap hari. Itu berita realiti yang sememangnya sudah cukup sensasi.

Sekiranya larangan kepada media diteruskan juga, ia bermakna kepimpinan UMNO sendiri yang cuba mengasingkan parti. Di mana secara diam merekalah yang merosakkan reputasi parti di kaca mata wartawan.

Tidakkah mereka ingat lagi bahawa UMNO itu sendiri diasaskan bersama oleh bekas salah seorang wartawan, Datuk Onn Jaafar. Bahkan ramai pahlawan UMNO teridiri daripada insan dari pihak media sendiri.

Mereka bukan calang-calang, mata pena yang digunakan lebih tajam daripada ucapan bergegar di dalam dewan.

Parti orang Melayu itu berkembang kerana tulisan wartawan, daripada huruf jawi ke rumi, daripada surat khabar ke tv dan kini di atas talian.

Apakah ini pembalasan yang diberikan kepada pihak media yang saban tahun berhimpun bersama, membuat liputan dan memberi ulasan.

Jangan kerana nyamuk seekor habis kelambu dibakar….renungkanlah sejak lebih 60 tahun lalu, tanpa tulisan wartawan, UMNO tidak akan berada di tempat sekarang.-freemalaysiatoday.com

Tiada ulasan: