Ahad, 22 November 2015

Tok Guru mati, dia ‘brona’...


Nik Abdul Aziz Nik Mat
Nik Abdul Aziz Nik Mat 
 
 
KOTA BHARU - Pas menyelar tindakan sesetengah pemimpinnya yang hanya setia kepada parti itu ketika Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih memimpin parti, sebaliknya mengkhianati perjuangan setelah ketiadaan pemimpin tersebut.

Tanpa menamakan pemimpin terbabit, AJK Pas Pusat, Datuk Nassuruddin Daud berkata, sewajarnya semua perlu mempertahankan perjuangan dibawa  arwah Tok Guru dan bukannya mengkhianati sesama sendiri selepas pemergiannya.

Menurutnya, pemimpin mahupun penyokong sepatutnya taat kepada Pas kerana asas perjuangan Islam menjadi pengukuhnya, bukannya mengikut dan sayangkan parti semasa arwah masih ada.

“Ada orang ni dia kuat Pas apabila Tok Guru ada , bila Tok Guru mati, dia 'brona' (bermasalah). Jangan, (ikut parti) bukan kerana Tok Guru, (tetapi) kerana ALLAH SWT.

“Kita turut Tok Guru sebab beliau perjuangkan perjuangan Islam. Jangan masa Tok Guru ikut, masa Tok Guru tiada kita khianat,” katanya dalam Ceramah Perdana Sambutan 60 Tahun Pas Kelantan yang diadakan di Dataran Ilmu di sini, malam kelmarin.

Nassuruddin yang juga  Ketua Penerangan Pas Kelantan berkata, pemimpin terbabit sepatutnya  rasa malu dengan penyokong yang memberikan peluang menjadi pemimpin suatu masa dahulu.

“Ada  yang jual padi untuk derma kepada Pas, toreh getah derma pada Pas, jual pisang untuk Pas, tiba-tiba orang yang diberi amanah ini mengkhianati perjuangan kita,” katanya.

Dalam masa sama, Nassuruddin turut menyindir kumpulan tertentu dalam Pas yang sanggup menikam sesama sendiri tanpa menyedari, telah mendapat manfaatnya sebagai pemimpin.

“Pohon 60 tahun sudah banyak dapat hasilnya, termasuk yang khianat pun makan hasil ini juga, tetapi tidak sedar sampai hendak tebang pohon.

"Kita tidak akan biarkan sesiapa pun mengkhianati perjuangan Islam yang diasaskan pada 1951 lagi,” katanya.

Nassuruddin juga turut mempersoalkan tindakan individu tertentu yang menganggap masih sayangkan parti sedangkan dalam masa sama terus menerus mengkritik dan membuka rahsia.

“Kalau sayang ada caranya, jangan sayang seperti beruang, mahu tampar lalat pada hidung tuannya, tetapi tampar sehingga tuannya juga mati. Orang khianat perjuangan Islam hidup tidak selamat dunia dan akhirat.

“Jangan khianati amanah, amanah kepimpinan, amanah rahsia parti dan kerajaan. Tidak boleh khianat haram semuanya. Padanlah ada yang bertaklik depan Tok Guru.

“Bai’ah ini sebenarnya bai’ah dengan ALLAH SWT. Bai’ah dengan perjuangan Islam sebenarnya berbai’ah dengan ALLAH SWT,” katanya.

Sebagai amaran, Nassuruddin berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pengkhianat parti dan mahukan golongan seperti itu ditolak oleh penyokong.


Tiada ulasan: