Khamis, 5 November 2015

TMJ puji Tengku Abdullah, KJ dan Jamal Nasir

MALAYSIAKINI


 


Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui beliau masih "cetek" dalam pengalaman dan berpendapat ada tokoh lain lebih layak mengetuai FAM.

Dalam temubual disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini, Tunku Ismail menamakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai tokoh paling sesuai mengepalai badan induk bola sepak negara.

Seorang lagi tokoh yang disebut beliau ialah bekas pengurus pasukan Pahang Datuk Jamal Nasir Ismail.

Ditanya wartawan mengenai isu Tengku Ismail berkata, Tengku Abdullah lebih layak "meneruskan usaha" di FAM.

"Saya (ada) banyak kerja untuk dilaksanakan di Johor. Lagipun, lebih ramai lagi calon yang lebih layak untuk menerajui FAM," katanya.

Beliau berpendapat tiga nama yang dicadangkannya itu "lebih layak menggalas tanggungjawab tersebut kerana mereka "lebih berpengalaman" berbanding dirinya.
Yakin tetap berusaha

Dari satu segi kenyataan itu dilihat agak sinis kerana sebelum ini Tengku Ismail pernah mengkritik FAM sebagai punca bola sepak negara ini "rosak" sejak 31 tahun lalu.

Beliau juga membangkitkan mengenai isu gangguan bookie yang masih aktif dan membimbangkan.
Pada pandangan TMJ, masalah itu adalah satu daripada isu yang perlu ditangani segera oleh FAM.

FAM mempunyai sejarah panjang di negara ini sejak ia ditubuhkan pada 1933 dan pernah diketuai pelbagai tokoh, termasuk dua perdana menteri - Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj serta Tun Razak Hussein.

Antara tempoh 1984 hingga 2014 - atau 30 tahun - Presiden FAM adalah Sultan Ahmad Shah sebelum jawatan itu diganti anak baginda, Tengku Abdullah sejak tahun lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai pencapaian JDT yang baru menjuarai Piala AFC, Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu mengucapkan syukur atas kejayaan amat menggembirakannya.

Bagaimanapun katanya, masih banyak lagi perkara yang perlu diusahakan.

"Saya yakin JDT akan berusaha sedaya upaya, walaupun kita kini berdepan dengan beberapa kecederaan.
"Namun, fokus saya sudah kepada 2016 dan musim-musim akan datang," katanya mengulas harapan untuk Piala Malaysia 2015.

JDT antara yang terawal muncul sebagai pasukan yang layak ke peringkat suku akhir selepas meraih 12 mata dalam saingan peringkat kumpulan dan masih berbaki dua perlawanan.


Tiada ulasan: