Selasa, 24 November 2015

Sempat ambil peperiksaan sebelum maut kemalangan


Sempat ambil peperiksaan sebelum maut kemalangan
Gambar kenangan Mohammad Alif Haikal (kanan) bersama keluarganya yang dirakam pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu. 
 
 
KOTA TINGGI – Seorang pelajar Sekolah Agama Taman Anggerik Bandar Tenggara di sini sempat menduduki hari pertama peperiksaan darjah enam sebelum menemui ajal selepas terlibat kemalangan di jalan utama taman tersebut petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu mangsa, Mohammad Alif Haikal Yusrizam, 13 yang juga merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pinang maut apabila motorsikal jenis Honda Wave yang dibonceng terbabas sendiri.

Ekoran itu turut menyebabkan penunggang motorsikal terbabit, Muhammad Zulhilmi Faizal, 14 pelajar tingkatan dua di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pontian mengalami cedera parah.

Difahamkan peperiksaan tersebut berlangsung selama empat hari sehingga Khamis ini dan Mohammad Alif Haikal dikatakan sempat menjawab kertas peperiksaan bagi mata pelajaran Ibadat dan Akhlak yang dijalankan pada waktu pagi hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang dalam perjalanan dari arah jalan besar menghala kawasan Taman Anggerik, Bandar Tenggara telah terbabas ke kanan jalan dan menyebabkan mereka terjatuh di atas jalan.

“Akibat dari kemalangan itu pembonceng telah meninggal dunia semasa dirawat di Klinik Kesihatan Bandar Tenggara manakala penunggang motorsikal yang cedera parah dihantar ke Hospital Kulai.

“Hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan jalan lurus dan dua hala.

"Siasatan juga mendapati kemalangan berpunca dari penunggang motosikal kerana gagal mengawal kenderaan yang ditunggang dan terbabas ke kanan jalan. Ketika kejadian keadaan cuaca hujan,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk urusan bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah anak sulung daripada tiga beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sibol kira-kira jam 10 pagi tadi.

Tiada ulasan: