Rabu, 25 November 2015

Persidangan Wanita, Pemuda Puteri Umno akan dirasmi ketua sayap masing-masing

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Perasmian persidangan tiga sayap utama pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) kali ini tidak lagi dilakukan secara berasingan, kata Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
 
Beliau juga mengumumkan persidangan itu akan dirasmikan ketua sayap masing-masing dan tidak lagi dirasmikan Timbalan Presiden Umno seperti kebiasaannya.
 
PAU pada tahun ini dijadualkan bermula pada 8 hingga 12 Disember depan. 
 
"Perhimpunan Agung Umno pada kali ini kita akan pastikan suasana baik dan mengikut perjalanan yang boleh melihat kepada suasana yang positif.
 
"Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri akan dirasmikan ketua sayap masing-masing. Jadi tidak ada perasmian secara berasingan tapi akan berlangsung dan dirasmikan oleh ketua sayap. Keputusan ini diputuskan atas cadangan daripada sayap parti," ujar Najib pada sidang medianya selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi Umno, lewat petang tadi.
 
Turut hadir Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
 
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presidennya, Datuk Seri Shafie Afdal tidak turut serta dalam mesyuarat yang berlangsung di bangunan Parlimen itu.
 
Najib dalam pada itu memberi jaminan perjalanan dan gerak kerja parti akan diperkukuhkan dari semua aspek bagi mendapatkan kembali kepercayaan masyarakat.
 
 

Tiada ulasan: