Sabtu, 28 November 2015

Pemimpin UMNO ketepi suara bawahan demi kuasa -Tun M

 
Apa yang berlaku sekarang telah jauh daripada landasan perjuangan dan menjadikan UMNO tidak lagi demokrasi di mana mereka berjuang untuk pemimpin, bukan bagi pihak akar umbi.


mahathir12


PETALING JAYA: UMNO masih demokratik tetapi amalan itu tidak diamalkan dalam parti itu disebabkan pemimpinnya.

Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, apa yang berlaku sekarang telah jauh daripada landasan perjuangan di mana mereka berjuang untuk pemimpin, bukan bagi pihak akar umbi.

“Kalau dia berjuang untuk presiden dia saja, dia sudah tidak berpegang kepada prinsip UMNO,” katanya yang dipetik daripada ismaweb.

Katanya, UMNO akan tetap relevan kepada rakyat khususnya orang Melayu, namun parti itu kini tidak lagi relevan untuk orang yang berbuat salah.

“Yang bersalah itu pemimpin, jadi jangan kita anggap pemimpin dan parti itu sama. Sepatutnya UMNO berpegang kepada Perlembagaan parti, berjuang untuk agama dan negara,” katanya kepada pemberita di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit 2015) di ibu negara.

Mengulas kenyataan Gabungan Ketua UMNO Cawangan Malaysia yang mendesak Presiden UMNO,
Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan, bekas Perdana Menteri itu menyelar sokongan yang dibuat ketua-ketua bahagian kepada Najib yang disifatkannya sebagai membuta tuli.

Ulasnya, ia berlaku apabila sebuah parti lama memerintah di mana para pemimpinnya lebih menghormati kuasa berbanding sistem dan tidak lagi mendengar pandangan bawahan.

“Ahli mengangkat pemimpin untuk menggerakkan parti dan kuasa itu bukan untuk diri mereka tetapi kepada ahli biasa.

“Apabila dia menidakkan hak ahli maka ahli berhak bersuara. Sebab itu cawangan dan ahli-ahli bergerak,” katanya.

Kata Dr Mahathir lagi, tindakan Najib menghalang perjalanan perundangan apabila siasatan terhadap beliau berhubung 1MDB dihentikan dengan menggunakan kuasa, jelas lari daripada konsep demokrasi.

“Undang-undang tidak pilih kasih, tetapi bila undang-undang terkena pada orang yang berkuasa dan dia tidak bertindak untuk menafikan undang-undang, maka dia tidak lagi mengamalkan demokrasi,” katanya.

Ketika ditanya sama ada akan menyertai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 8 Disember ini, beliau berkata akan hadir sekiranya mendapat jemputan.

“Saya tunggu jemputan, kalau dijemput saya hadir. Parti saya, saya ahli parti itu.

“Namun, jika tiada jemputan tak apa, saya akan tetap mengikutinya kerana perhimpunan parti lain juga saya ikut dengar untuk tahu apa yang mereka fikirkan,” katanya.

Tiada ulasan: